Sayap Wanita Muda AMANAH (WARDA) merupakan sayap ketiga Parti AMANAH. WARDA Nasional ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2019 dengan didokong dua negeri iaitu WARDA Selangor dan WARDA Johor.
Nama WARDA merupakan ilham dari bahasa Arab, wardah, yang bermaksud “Bunga Mawar”. WARDA diwujudkan sebagai satu platform khusus kepada wanita muda dalam Parti AMANAH, untuk melibatkan diri secara aktif dalam politik baik dari segi mengurus organisasi, mahupun pelan aktiviti politik.

Keberadaan WARDA sebagai sayap rasmi Parti AMANAH merupakan satu keunikan yang jarang ada pada parti lainnya kecuali UMNO yang mempunyai Sayap Puteri UMNO. Adapun parti lain, platform wanita muda dibina sebagai satu entiti kecil seperti Ameerah dalam PAS yang diletakkan di bawah sayap Muslimat PAS, Srikandi di bawah Wanita Keadilan, dan beberapa parti seperti DAP merangkumkan wanita muda dalam satu platform iaitu DAPSY dan KEADILAN di dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK).
Perkembangan WARDA dalam parti, tidak dinafikan perlahan berbanding dua sayap lainnya, Pemuda dan Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN). Hal ini kerana cabaran yang perlu dihadapi wanita muda bagi menggerakkan diri dalam parti politik adalah tidak mudah, apatah lagi untuk seimbangkan antara tanggungjawab di rumah, kerjaya dan dalam parti itu sendiri.
Namun, WARDA tidak pula statik, mahupun mengecil dari sudut pembangunan. Pertambahan ahli dan penubuhan WARDA Kawasan berlaku secara konsisten, terutama di Selangor. WARDA negeri yang telah tertubuh termasuk Johor, Kelantan, Perak, dan Melaka yang memberi signal jelas bahawa anak muda wanita mempunyai keberanian menyertai politik arus perdana.
Sejak mesyuarat penubuhan pada 19 Januari 2019 dan pelancaran rasmi pada 1 Disember 2019, WARDA telah menempuh pelbagai fasa perkembangan. Antara pencapaian besar ialah kejayaan melibatkan anak muda wanita dalam proses wacana politik, advokasi isu masyarakat, serta memperkenalkan gaya politik baharu yang lebih segar, kreatif dan dekat dengan khalayak media sosial.
Sepanjang penubuhannya, WARDA juga menjadi pemangkin kepada lahirnya ramai tokoh muda wanita yang diberi ruang untuk memimpin, Anis Afida, Nurthaqaffah Nordin, Aishah Zain, Nusaibah Norbawi, Najihah Muhaimin (sekadar memetik beberapa nama) membuktikan WARDA berfungsi sebagai tapak kaderisasi politik wanita muda yang berkesan dalam parti.
Situasi WARDA masa kini, walaupun masih dilihat kecil keberadaannya kepada parti, namun ia merupakan satu aset penting yang harus terus diperkukuh. Mereka memiliki kumpulan sasar antara yang terbesar sebagai pengundi iaitu kumpulan pengundi wanita di bawah 40 tahun. Dengan jaringan, program dan tenaga muda yang semakin meluas, WARDA berada pada landasan yang betul untuk terus menyumbang kepada Parti AMANAH dan politik Malaysia.
Masa depan WARDA sangat bergantung kepada kekuatan kaderisasi, jaringan akar umbi, serta keupayaan mereka menguasai naratif politik anak muda. WARDA adalah jambatan yang menghubungkan idealisme anak muda wanita dengan perjuangan besar Parti AMANAH untuk Malaysia.
Dedikasi kepada WARDA, dan pimpinannya, insyAllah sebuah buku bertajuk “WARDA – Journey to the stars” akan diterbitkan menjelang konvensyen nasional 2025.
Muammar Qaddafi