WARDA atau Wanita Muda Parti AMANAH Negara merupakan sayap termuda dalam Parti AMANAH Negara. Menariknya AMANAH telah menyamai kematangan dalam pengorganisasian politik apabila sedia untuk menubuhkan sayap wanita muda setaraf Sayap Pemuda dan Wanita. Hanya AMANAH dan UMNO sahaja yang mempunyai sayap wanita muda ini, iaitu WARDA dan Puteri UMNO. Namun sempena Konvensyen WARDA Nasional bagi edisi 2025, ada banyak persoalan dan penjelasan yang berbangkit terhadap WARDA yang kini menjadi perhatian umum. Justeru SelangorToday telah menemubal Timbalan Ketua WARDA Nasional, Saudari Aishah Zain bagi menjawab beberapa isu yang berbangkit.

1. Konvensyen WARDA 2025 diadakan ketika lanskap politik wanita muda semakin mencabar. Apakah kepentingan utama konvensyen kali ini, dan bagaimana ia menjadi platform untuk memperkasa peranan WARDA dalam membina hala tuju politik wanita muda AMANAH?
Aishah: Konvensyen WARDA 2025 datang pada saat yang sangat penting, iaitu ketika landskap politik wanita muda sedang berubah dengan pantas, dan parti-parti kini berlumba-lumba untuk menarik kepercayaan generasi baharu. Justeru, konvensyen ini menjadi medan untuk kita menilai semula kekuatan dan kelemahan kita, serta menetapkan halatuju yang lebih jelas dan terancang bagi masa depan WARDA.
Konvensyen ini memperkukuh tiga perkara asas.
Pertama, penyatuan idealisme dan strategi, agar semangat juang wanita muda AMANAH dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan politik yang tersusun.
Kedua, pengukuhan struktur organisasi di semua peringkat, supaya WARDA benar-benar mempunyai kekuatan akar yang stabil, bukan hanya di peringkat nasional.
Ketiga, penegasan identiti politik progresif wanita muda, yang bukan hanya membicarakan soal hak wanita, tetapi juga membawa naratif besar tentang keadilan sosial, ekonomi, dan kelestarian masa depan negara.
Kita mahu konvensyen ini menjadi titik tolak kepada arus kebangkitan baharu WARDA, di mana setiap negeri dan kawasan akan pulang dengan semangat dan pelan tindakan yang jelas.
Bukan sekadar berbincang isu, tetapi menetapkan komitmen untuk turun ke lapangan, ke universiti, ke komuniti, dan ke ruang digital, bagi mendekati wanita muda di luar sana yang masih skeptikal terhadap politik.
Lebih penting lagi, konvensyen ini juga menjadi ruang pembinaan kepimpinan, untuk melahirkan generasi pimpinan wanita muda yang berani memimpin, bukan sekadar mengikut.
Kita mahu melihat WARDA melahirkan lebih ramai pemimpin yang bukan sahaja petah berhujah, tetapi juga matang berfikir, cekap mengurus, dan jujur berkhidmat. Kerana itulah makna sebenar memperkukuh peranan, bukan untuk diri sendiri, tetapi untuk masa depan politik wanita dalam AMANAH dan negara.
2. Masih ada pandangan bahawa suara WARDA agak sepi dalam arus politik semasa berbanding sayap wanita muda parti lain. Apakah langkah konkrit yang akan diambil untuk memastikan WARDA lebih menonjol dan menjadi suara progresif yang benar-benar berpengaruh di lapangan politik negara?
Aishah: Saya tidak menafikan, suara WARDA belum lagi sekuat yang kita harapkan dalam arus politik perdana, apatah lagi berbanding sayap Pemuda.
Namun, kita perlu memahami bahawa WARDA masih dalam fasa pembinaan dalaman dan pengukuhan struktur akar umbi. Untuk menjadi kuat di luar, kita mesti kukuh di dalam.
Kita sedang membina kekuatan itu secara sistematik.
Contohnya di Selangor, pertumbuhan WARDA kawasan sangat memberangsangkan, hanya tahun ini sahaja, empat kawasan baharu berjaya ditubuhkan. Ini menandakan kesedaran dan minat wanita muda terhadap AMANAH semakin meningkat, dan mereka mahu terlibat dalam politik dengan cara yang lebih matang dan berprinsip.
Kewujudan WARDA di peringkat akar umbi amat penting kerana di situlah lahirnya pelapis kepimpinan. Ia juga membuka ruang untuk kita memahami realiti sosial wanita muda di bawah, agar suara yang kita bawa di peringkat nasional benar-benar mewakili mereka.
Selain itu, WARDA juga sedang giat membangunkan kapasiti dan kompetensi, melalui bengkel penulisan, latihan komunikasi digital, serta kelas media sosial yang kita sertai. Semua ini adalah persiapan untuk memastikan bijak mempengaruhi naratif digital dan wacana politik nasional.
Namun, kita perlu sedar bahawa menjadi progresif bukan hanya soal lantang bersuara, ia soal konsistensi, keilmuan dan keberanian moral.
Kita mahu WARDA dikenali sebagai suara yang matang, bukan sekadar reaktif. Bila kita bersuara, ia mesti berasaskan fakta, nilai dan visi. Inilah cara WARDA membina kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan wanita muda AMANAH.
Akhirnya, saya percaya, apabila akar sudah kuat, budaya kerja sudah terbina, dan mesej kita tersusun, suara WARDA akan dihormati. Dan itu, bagi saya, adalah ukuran sebenar pengaruh dalam politik.
3. Dalam persaingan merebut perhatian wanita muda Malaysia, apakah kelebihan dan identiti unik yang ingin WARDA tonjolkan agar dapat mendominasi wacana politik wanita muda — sekaligus mengangkat martabat dan keyakinan generasi baharu terhadap perjuangan AMANAH?
Aishah: WARDA membawa identiti yang tersendiri,iaitu politik nilai. Dalam dunia politik yang sering dikelilingi oleh sensasi dan permainan persepsi, WARDA memilih untuk berdiri di atas dasar keilmuan, integriti, dan keberanian moral.
Kita mahu wanita muda melihat bahawa menjadi ahli politik harus pada soal tujuan dan makna perjuangan.
WARDA perlu menjadi jambatan antara idealisme wanita muda dan realiti politik negara, membina keyakinan bahawa perubahan boleh berlaku melalui ruang politik yang matang, bersih dan berakhlak.
Kelebihan WARDA juga terletak pada pendekatan inklusif dan progresif. Kita tidak hanya bercakap untuk wanita muda, tetapi bersama mereka, melalui isu pekerjaan, kesejahteraan mental, pendidikan, dan peluang ekonomi.
WARDA mahu menjadi suara generasi yang berfikir ke depan berpaksikan nilai Islam yang rahmah dan madani.
Selain itu, WARDA mahu mengangkat citra wanita muda sebagai agen perubahan sosial. Kita mahu generasi ini sedar bahawa perjuangan politik bukan semata-mata di dewan atau media, tetapi dalam cara kita memberi kesan kepada masyarakat, membantu ibu tunggal, mendidik anak muda, dan membina jaringan solidariti di peringkat akar. Itulah wajah sebenar politik nilai yang kita perjuangkan.
Dan akhirnya, WARDA mahu menjadi contoh kepada parti lain bahawa politik wanita muda boleh dilakukan dengan maruah. Kita tidak perlu menjadi ekstrem untuk didengar, dan tidak perlu meniru gaya macho untuk dihormati. Cukup dengan prinsip, kualiti dan ketulusan, itulah kelebihan sebenar WARDA yang akan membentuk keyakinan wanita muda terhadap perjuangan AMANAH.
4. PRN Sabah semakin hampir, dan timbul persoalan tentang kewajaran AMANAH bertanding di sana. Bagaimana WARDA melihat peluang AMANAH di Sabah, dan adakah penyertaan di negeri itu penting untuk memperkukuh pengaruh politik AMANAH — termasuk meluaskan jaringan wanita muda di Borneo?
Aishah: Sabah mempunyai potensi politik yang besar, tetapi juga cabaran yang kompleks. Bagi WARDA, penyertaan AMANAH di Sabah tidak semata-mata soal kerusi, tetapi soal membina tapak dan kehadiran politik progresif yang mewakili suara rakyat pelbagai latar.
Dari sudut wanita muda, Sabah menawarkan ruang luas untuk kita menyemai benih perjuangan, membina jaringan, membuka peluang latihan, dan melibatkan lebih ramai wanita muda Borneo dalam gerakan nasional WARDA. Kita tidak mahu WARDA dilihat hanya berpusat di Semenanjung; kita mahu WARDA menjadi gerakan wanita muda AMANAH seluruh Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Kita percaya, politik wanita muda di Sabah mampu menjadi tenaga baharu yang segar dan berani, dan WARDA bersedia memainkan peranan penting dalam proses itu.