Ahli Parlimen Shah Alam Hj Azli Yusof berpandangan warga pekerja di Malaysia wajar mencarum Sistem Insurans Pekerjaan yang telah dikuatkuasakan oleh kerajaan. Kata beliau, akta tersebut berperanan dalam membantu pekerja yang hilang pekerjaan pada jangka masa tertentu, seharusnya semua pekerja yang terdedah pada kehilangan pekerjaan mencarum. Turut sama adalah kesemua penjawat-penjawat dari kalangan lantikan politik untuk terlibat sama dalam caruman Sistem Insurans Perkerjaan. Hal ini demikian kerana, penjawat lantikan politik juga mempunyai risiko kehilangan pekerjaan mereka apabila berlakunya perubahan suasana politik semasa. Kata beliau, ini telah terjadi pada tahun 2020 apabila ramai lantikan politik setelah kerajaan Pakatan Harapan memerintah hilang pekerjaan akibat Langkah Sheraton. Namun kesemuanya tidak mencarum Sistem Insurans Perkerjaan yang boleh menjamin pendapatan mereka buat sementara waktu setelah kehilangan kerja.
Pengerusi Biro Pendidikan AMANAH Nasional itu berkata demikian ketika membahaskan pindaan Rang Undang-Undang Sistem Insurans Perkerjaan 2017 di Dewan Rakyat sebentar tadi. Dalam masa yang sama, Hj Azli turut menyatakan akta yang dikuatkuasakan ini bersifat baharu dan masih belum mendapat kesedaran oleh masyarakat, maka beliau mahu mengetahui apakah langkah kerajaan bagi memastikan akta ini telah pun wujud dan semua pekerja berhak untuk mencarumnya. Kesedaran ini terbukti rendah apabila pihak awam hanya melihat manfaat sesuatu tawaran kerja melibatkan jumlah cuti, insurans keselamatan mahupun kad kesihatan, sedangkan Sistem Insurans Pekerjaan juga sudah wujud sejak 2018 lagi.
Hj Azli yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor mencadangkan kepada kerajaan sejauh mana kesediaan kerajaan untuk melibatkan pekerja ‘Gig Economy’ dalam akta ini. Umum sedia maklum bahawa generasi muda hari ini melibatkan diri dalan sektor ekonomi baru tersebut dan menjadikan sektor tersebut sebagai pekerjaan mutlak mereka. Pastinya kehilangan pekerjaan dalam sektor ‘Gig Economy’ akan melumpuhkan pendapatan mereka. Dengan keadaan ini wajar untuk kerajaan pertimbangkan penglibatan sektor ekonomi tersebut bagi memastikan akta tersebut mencakupi semua kegiatan ekonomi. – SelangorToday