
BANGI, 5 Jun 2025 – Warga DUN Sungai Ramal dan kawasan sekitar dijemput beramai-ramai bagi memeriahkan Program Korban Rahmah Madani & Kenduri Rahmah Rakyat Madani 2025 yang bakal berlangsung pada Isnin, 9 Jun 2025 di Dewan Komuniti Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.
Program yang dianjurkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras DUN Sungai Ramal ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat pengorbanan sempena Aidiladha, di samping memperkukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Majlis akan bermula seawal 7.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dengan pelaksanaan aktiviti ibadah korban, diikuti dengan Kenduri Rahmah yang akan berlangsung dari 12.30 tengah hari hingga 3.00 petang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak penganjur, program ini bukan sahaja memperingati makna pengorbanan dalam Islam, malah menjadi wadah perpaduan dan kebersamaan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Marilah kita bersama-sama menghayati semangat pengorbanan dan memperkukuh silaturahim sesama komuniti. Kehadiran anda amat dihargai dan menyerikan majlis ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Program ini membawa tema “Bangi Rahmah & Harmoni”, mencerminkan komitmen DUN Sungai Ramal untuk terus membina komuniti yang inklusif, prihatin dan bersatu hati.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan majlis dan menjayakan program komuniti ini.