SelangorToday

WBB TAMBAHAN PILIHAN KEPADA SISTEM SEDIA ADA, BUKAN GANTINYA – DR.DZULKEFLY

Pelaksanaan sesebuah projek rintis seperti Waktu Bekerja Berlainan (WBB) hanya boleh dimulakan dengan kelulusan daripada menteri dan persetujuan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), jelas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Penjelasan itu merujuk kepada surat edaran pelaksanaan WBB Fasa 1 yang tular di media sosial baru-baru ini, yang ditandatangani oleh Pengarah Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Mohd Azman Yacob.

“Sebelum itu, garis panduan pelaksanaan projek rintis kepada fasiliti-fasiliti kesihatan telah dibuat melalui surat edaran dalaman, agar persediaan di lapangan dapat dibuat sebelum projek rintis dilaksanakan.

“Malangnya, surat edaran tersebut telah didedahkan kepada awam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan telah disalahfaham erti dan fungsinya,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Dalam surat edaran bertajuk Pelaksanaan Sistem WBB Fasa Pertama bertarikh 10 Januari yang dikeluarkan oleh KKM, antara kandungan surat itu menyebut WBB diluluskan untuk projek Fasa Pertama oleh Ketua Setiausaha KKM pada 3 Januari lalu, membabitkan beberapa jabatan di hospital terpilih.

Pelaksanaan sistem itu mendapat kritikan antaranya berkait syif tugas doktor ditukar untuk bekerja selama 18 jam dari jam 3 petang hingga jam 9 pagi keesokannya sehingga mereka tidak mendapat elaun ‘on call’.

Ditanya sama pelaksanaan WBB Fasa Pertama seperti dalam surat edaran itu akan terpakai selepas mengundang kritikan pelbagai pihak, Dr Dzulkefly berkata ia bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Penasihat dan Tindakan Perubatan (MAAC).

Jelasnya yang pelaksanaan WBB seperti terkandung dalam surat berkenaan adalah projek rintis membabitkan hospital, jabatan dan unit tertentu.

“Ini adalah edaran dalaman bagi projek rintis untuk dijalankan. Nak buat secara rintis atau apa pun, untuk memastikan sama ada WBB boleh dilaksanakan atau wajar dilaksanakan, itu adalah hal dalaman.

“Sama ada ia hendak dilaksanakan atau pun tidak, MAAC akan putuskan,” katanya.

Bagi menangani waktu bekerja yang terlalu panjang, menjaga kesejahteraan minda dan menawarkan keseimbangan antara kehidupan kerja dalam kalangan pegawai perubatan, Dr Dzulkefly berkata MAAC sudah mendapat maklum balas.

Tambahnya, maklum balas itu diterima daripada pegawai perubatan di beberapa jabatan yang mempunyai masalah bebanan kerja yang berintensiti tinggi.

“Antara hasilnya ialah sebuah cadangan pendekatan baharu terhadap aturan jadual kerja yang berlainan daripada sistem tunggu sedia (on call) dan sistem syif sedia ada.

“Sistem ini dibina oleh doktor di lapangan untuk doktor di lapangan setelah mengambil kira pelbagai input daripada pemegang taruh di pelbagai peringkat. Usaha mereka selama setahun mendapati wujudnya keperluan segera untuk menambah baik sistem aturan kerja sedia ada.

“WBB adalah tambahan pilihan kepada dua sistem sedia ada dan bukannya bagi menggantikannya. Pemilihan apa-apa aturan jadual kerja adalah tertakluk kepada kemampuan dan ketersediaan jabatan serta pentadbiran hospital berkenaan,” katanya. -Berita Harian

Exit mobile version