
PUTRAJAYA, 12 Jun 2025 – Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) tahun ini bakal mencatat sejarah tersendiri apabila dianjurkan sempena ulang tahun ke-50 sejak mula diperkenalkan. Majlis Prapelancaran HPPNK 2025 telah disempurnakan petang ini oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu di Wisma Tani, Putrajaya.
Menurut beliau, HPPNK 2025 yang akan berlangsung pada 1 hingga 3 Ogos 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, membawa tema “Kudrat Kami Menjamin Pertiwi”, simbolik kepada sumbangan besar para peladang, penternak dan nelayan dalam menjamin keterjaminan makanan negara.

“Tema ini bukan sekadar slogan, ia adalah kenyataan. Kudrat peladang, penternak dan nelayan inilah yang menjamin kelangsungan makanan negara. Mereka berpanas, berhujan, bangun awal pagi, demi memastikan rakyat cukup makan, cukup bekalan,” ujar beliau dalam ucapan perasmian.
Tambahnya lagi, edisi jubli emas ini merupakan peluang keemasan untuk seluruh rakyat Malaysia menghargai jasa serta pengorbanan ‘wira-wira makanan’ negara yang memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan makanan.
Turut hadir dalam majlis prapelancaran tersebut ialah Haji Mahfuz Omar, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), yang turut menzahirkan sokongan penuh terhadap penganjuran HPPNK 2025 sebagai wadah memartabatkan peranan peladang di peringkat nasional.
HPPNK bukan sahaja medan penghargaan kepada golongan sasar, malah turut menjadi platform untuk memperkenalkan produk-produk tempatan berkualiti tinggi kepada pengguna. Pelbagai acara menarik, pameran teknologi pertanian, jualan terus daripada ladang dan aktiviti interaktif dijangka menjadi tarikan utama di Sabah nanti.

Menteri turut mengajak semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang untuk hadir memeriahkan sambutan HPPNK 2025.
“Bang Mat nak ajak semua rakyat Malaysia, tak kira di mana anda berada, mai ramai-ramai ke Sabah nanti. Jom kita sama-sama raikan HPPNK 2025 sebagai tanda penghargaan kepada wira-wira makanan kita,” katanya.
Dengan semangat Malaysia MADANI dan sokongan berterusan rakyat, HPPNK 2025 dijangka mencipta impak positif dalam memartabatkan sektor agromakanan negara serta memperkukuh keterjaminan bekalan makanan untuk generasi akan datang.