
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mencadangkan agar modul pemulihan berasaskan kerohanian diperkenalkan dalam sistem pendidikan sebagai pendekatan menangani isu buli dalam kalangan pelajar, susulan insiden buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Pulau Pinang yang tular baru-baru ini.
Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, gejala buli perlu dilihat lebih mendalam sebagai manifestasi kekosongan jiwa dalam kalangan remaja, yang menuntut perhatian terhadap aspek rohani dan tarbiah diri.
“Kami melihat isu ini bukan hanya sekadar salah laku pelajar, tetapi satu isyarat bahawa masih ramai pelajar dan anak-anak kita memerlukan bimbingan jiwa melalui pengisian rohani yang lebih bermakna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan pelaksanaan modul khas ‘Pemulihan Kerohanian Pelajar’ bagi pelaku buli, sebagai sebahagian daripada proses mendidik dan membimbing mereka ke arah kesedaran dan keinsafan.
Antara komponen modul yang dicadangkan termasuk:
- Sesi tarbiah khas dan refleksi diri
- Amalan solat tahajud secara berjemaah
- Program ziarah ke rumah anak yatim dan mangsa buli
- Penerapan nilai taubat dan penyembuhan jiwa
Datuk Hasanuddin menambah, hukuman disiplin semata-mata tidak mencukupi jika tidak disertai dengan usaha membentuk jiwa dan sahsiah pelajar.

“YADIM percaya pendidikan adalah medan dakwah yang amat penting, dan kami komited untuk terus melestarikan usaha ini di semua peringkat – dari sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa YADIM telah menggerakkan inisiatif dakwah melalui program Rakan Remaja YADIM, dan diperluas kepada golongan belia dan mahasiswa menerusi Rakan Belia YADIM dan Rakan Siswa YADIM.
Dalam pada itu, YADIM turut merakamkan penghargaan kepada pihak MARA atas tindakan tegas dan pantas dalam menangani insiden buli berkenaan, yang menyaksikan tujuh pelajar ditamatkan pengajian serta-merta hasil siasatan Jawatankuasa Disiplin MRSM.