SelangorToday

YADIM Fokus Cegah Buli Sekolah, Libatkan Pendakwah Selebriti

PUTRAJAYA, 12 Ogos – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan menggempur gejala buli di sekolah dengan menggerakkan pendekatan dakwah yang lebih dekat dengan jiwa remaja.

Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom menegaskan, krisis buli kini menjadi trend membimbangkan dan perlu dihentikan dari peringkat awal.

“Generasi muda paling terkesan dengan budaya buli ini. Kami akan bekerjasama dengan tokoh yang mereka hormati dan ikuti, termasuk pendakwah selebriti, untuk menyampaikan mesej pencegahan secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Solusi Kesihatan Mental daripada Pendekatan Dakwah (SMILED) Siri 3/2025 di Dewan Seroja, di sini, hari ini.

Program yang menghimpunkan 250 peserta itu memberi penekanan kepada solusi kesihatan mental berasaskan pendekatan dakwah, termasuk melalui modul literasi yang dibangunkan bersama rakan strategik.

YADIM menyatakan, inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat, bebas buli, serta mampu membentuk generasi pelajar berdaya tahan.

Exit mobile version