 
                SHAH ALAM, 28 Jun 2025 – Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, YB Anfaal Saari menegaskan bahawa penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) merupakan satu langkah penting Kerajaan Negeri dalam memperkasa masa depan anak-anak kurang upaya (OKU) di Selangor secara lebih inklusif dan menyeluruh.
Menurut beliau, pelancaran rasmi YANIS dijadual berlangsung pada 9 Ogos depan dan bakal disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin selaku Penaung yayasan berkenaan.

“YANIS telahpun ditubuhkan dan berdaftar secara rasmi di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai Syarikat Terhad Menurut Jaminan (CLBG). Ia kini berada dalam proses penstrukturan pentadbiran untuk ditempatkan di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI,” jelas Anfaal ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata, pemindahan kakitangan ke entiti baharu itu akan dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan kelangsungan operasi dan perkhidmatan kepada komuniti OKU tidak terganggu.
YANIS merupakan penjenamaan semula daripada Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) dan diperkenalkan dalam Belanjawan Selangor 2024 oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai usaha memperluas perkhidmatan kepada golongan OKU tanpa had umur. Sebelum ini, perkhidmatan ANIS hanya memfokus kepada kanak-kanak bawah 18 tahun.
Selaras dengan matlamat kedua Rancangan Selangor Pertama (RS-1), YANIS ditubuhkan bagi mempertingkat inklusiviti sosial dan kesejahteraan masyarakat, dengan tumpuan khusus kepada pendidikan, latihan, dan pendayaupayaan anak-anak OKU agar mereka mampu berdikari dan memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Kerajaan Negeri komited memastikan tiada golongan terpinggir, dan dengan tertubuhnya YANIS, kita ingin memastikan anak-anak OKU bukan sahaja dibela, tetapi diberdaya dan diangkat martabat mereka sebagai warga Selangor yang menyumbang,” tegas Anfaal lagi.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            