Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin telah menuai hasil daripada peruntukan yang beliau turunkan pada tahun 2023 kepada sekolah-sekolah sekitar Parlimen Puchong yang memerlukan dana infra sekolah. Dalam video TikTok yang dimuat naik di laman rasmi Yeo, beberapa sekolah yang telah dilawati pada tahun 2023 telah berubah wajah pada setelah Yeo kembali hadir pada tahun ini. Peruntukan yang diturunkan oleh Yeo telah digunakan sehabis baik oleh pihak sekolah bagi memastikan keselesaan dan kebajikan guru serta murid sekolah dijaga.
Di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Desaminium, sebanyak 14 buah pendingin hawa telah dibeli melalui peruntukan yang disediakan oleh pejabat Yeo. Pendingin hawa tersebut dipasang di Dewan Rasmi sekolah tersebut yang digunakan sebagai tempat pengumpulan pelajar serta digunakan sebagai dewan peperiksaan ketika musim peperiksaan. Peruntukan sebanyak RM79,550 telah disediakan bagi membolehkan pendingin hawa dipasang di kawasan tersebut. Dalam ulasan video yang lain, Yeo yang juga pimpinan wanita DAP berkata, tidak kira sama ada sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan mahupun sekolah rakyat akan disantuni oleh beliau sehabis baik melalui peruntukan yang ada. Tambahnya, peruntukan tersebut merupakan duit kerajaan dan beliau bersama pasukannya berperanan sebagai pengagih peruntukan kepada rakyat Puchong.
Beliau turut meninjau penaiktarafan bumbung sekolah SJKT Puchong dimana sebelum ini mengalami kebocoran dan rosak. Manakala di SMK Seri Kembangan, beberapa perkara telah dilakukan oleh pihak sekolah melalui peruntukan yang disediakan oleh pasukan Yeo. Antaranya, projek menukar bingkai kayu yang dimakan anai-anai, membekalkan 10 set meja baharu di kantin sekolah, membekalkan meja baharu di bengkel serta membaiki meja yang usang. Selain itu, peruntukan tersebut digunakan untuk mengubah stor bengkel yang usang dan membekalkan 100 buah meja baharu untuk pelajar dalam bilik darjah. – SelangorToday