NSTP/ZAMAN HURI ISA
Parti Amanah Negara (Amanah) Perlis bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pilihan raya kecil (PRK) di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan wakil rakyat Pas yang ditamatkan keahlian parti itu.
Pengerusi Amanah Perlis, Wan Kharizal Wan Khazim berkata, pihaknya bersama-sama gabungan Pakatan Harapan (PH) negeri dan Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat bagi menyelaras pendirian dan tindakan selanjutnya, selaras dengan perkembangan isu semasa.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PH Perlis menambah, sebagai sebuah parti yang menjunjung kestabilan politik dan kepentingan rakyat, pihaknya menyeru seluruh rakyat negeri Perlis agar kekal bertenang, berfikir secara rasional dan tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi yang boleh menambah keresahan awam.
“Amanah Perlis turut mengajak semua pihak untuk berdoa agar kemelut politik yang sedang berlaku ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya, demi kebaikan negeri dan kesejahteraan rakyat, serta menghasilkan keadaan yang lebih baik dan stabil berbanding situasi sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -MalaysiaGazette