Kuala Lumpur, 29 Januari – Kerajaan meletakkan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) sebagai tonggak utama bagi memastikan negara mampu menjamin bekalan makanan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, dasar itu dirangka sejajar dengan keperluan mendepani cabaran semasa, termasuk ketidaktentuan geopolitik global yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan makanan.

Datuk Seri Mohamad menekankan bahawa tumpuan utama dasar itu ialah pemeliharaan kuasa beli rakyat serta pengurangan kebergantungan pada import, selain peningkatan eksport.
“Yang kita tumpu ialah dua perkara utama, iaitu menjaga kuasa beli rakyat dan mencari jalan untuk pengurangan import,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran DKMN 2030 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di sini.
Beliau turut menegaskan perlunya memperkenalkan pendekatan pertanian pintar, khususnya dalam sektor padi memandangkan tahap kecukupan beras negara kini berada pada paras yang membimbangkan.
“Tahap kecukupan beras kita hanya lebih kurang 50 peratus. Amat-amat tidak selamat kalau berlaku sesuatu perkara di luar negara,” katanya lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Mohamad berkata isu pembaziran makanan menjadi fokus utama DKMN 2030, dengan kempen kesedaran dijalankan secara bersama pelbagai kementerian terutama sekali pada Ramadan nanti.
Beliau menambah, Malaysia masih ketinggalan berbanding Jepun dan Thailand dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan.