ZAKIAH BEEVI KOYA
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa urusan politik negara tidak wajar dinilai menggunakan analogi halal, haram atau syubhah seperti yang diketengahkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam tulisannya bertajuk “Kabinet Bercampur Selera”.
Menurut Dr Mujahid, pendekatan sedemikian mencerminkan kekeliruan asas dalam memahami siyasah syar‘iyyah, iaitu disiplin Islam yang mengatur urusan kuasa, kepimpinan, keadilan dan maslahah awam, khususnya dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa hukum halal dan haram dalam pemakanan bersifat qat‘i dan individu, manakala politik bergerak dalam ruang ijtihad, maslahah serta realiti semasa. Justeru, menyamakan gabungan politik dengan “campuran makanan” disifatkan sebagai kiasan yang rosak (qias fasid) dan tidak terpakai dalam kerangka Islam.
Dr Mujahid turut mengingatkan bahawa Islam tidak menetapkan satu model politik beku untuk semua zaman dan tempat. Katanya, konsep “jalan yang lurus” dalam al-Quran merujuk kepada nilai keadilan, amanah dan kebenaran, bukannya monopoli mana-mana parti atau gabungan politik tertentu.
Beliau juga menolak dakwaan bahawa kerjasama politik dalam kerajaan hari ini membawa kepada syubhah aqidah, sambil menegaskan bahawa al-Quran sendiri membenarkan umat Islam berlaku adil dan bekerjasama dengan pihak yang tidak memerangi agama. Dalam konteks Malaysia, katanya, Islam kekal sebagai agama Persekutuan dan institusi Islam terus terpelihara.
Mengulas naratif penyatuan bangsa yang sering diangkat sebagai asas politik Islam, Dr Mujahid menegaskan bahawa sejarah Rasulullah SAW membuktikan kebenaran tidak terikat kepada kaum atau bangsa. Sebaliknya, politik Islam berpaksikan nilai keadilan dan perpaduan demi kemakmuran negara.

Beliau turut menyifatkan cubaan mengaitkan gagasan Malaysia Madani dengan agenda luar atau “agama Abraham” sebagai retorik tanpa bukti dasar yang nyata. Menurutnya, penilaian dalam siyasah syar‘iyyah mesti berasaskan realiti dan kesan polisi, bukan sangkaan atau hipotesis kosong.
Dalam isu rombakan kabinet, Dr Mujahid menekankan bahawa penilaian seharusnya tertumpu kepada persoalan kestabilan politik, usaha memerangi rasuah, kebajikan rakyat serta pencegahan konflik kaum. Katanya, dalam kaedah fiqh, tindakan pemerintah diukur berdasarkan maslahah rakyat dan pencegahan mudarat yang lebih besar.
“Islam tidak mengajar kita menilai politik seperti menilai hidangan makanan. Negara dibina dengan siyasah hikmah dan amanah, bukan siyasah selera,” tegas beliau.
Dr Mujahid menutup hujahnya dengan menegaskan bahawa siyasah syar‘iyyah bukan alat untuk menghalalkan pembangkang atau mengharamkan kerajaan, sebaliknya berfungsi memelihara agama tanpa meruntuhkan negara serta menegakkan prinsip tanpa menyalakan api permusuhan, selaras dengan semangat Politik Rahmah dan bukannya Politik Amarah.