SHAH ALAM: Cadangan perkenal mekanisme pampasan mandatori kepada waris mangsa kemalangan akibat pemandu mabuk wajar dipertimbang secara serius bagi memastikan keadilan lebih menyeluruh, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof.
Beliau menegaskan, walaupun undang-undang sedia ada seperti di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan memperuntukkan hukuman berat termasuk penjara antara 10 hingga 15 tahun, denda sehingga RM100,000 serta penggantungan lesen selama 10 tahun, pendekatan tersebut masih tertumpu kepada menghukum pesalah semata-mata.
“Persoalan lebih besar yang masih belum dijawab ialah di manakah keadilan untuk keluarga mangsa? Hukuman terhadap pesalah tidak mengembalikan nyawa yang telah hilang,” katanya.
Menurut beliau, keluarga mangsa bukan sahaja berdepan kehilangan insan tersayang, malah sering terkesan dari sudut kewangan, emosi serta masa depan yang tidak menentu.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu mencadangkan agar sistem keadilan negara mengambil pendekatan lebih holistik dengan mempertimbangkan konsep diat, iaitu pampasan kepada mangsa atau waris dalam kes kecederaan atau kematian.
“Dalam Islam, diat bukan sekadar hukuman, tetapi satu bentuk tanggungjawab sosial dan pembelaan kepada pihak yang terkesan. Ia meletakkan keseimbangan antara menghukum pesalah dan menjaga kebajikan mangsa,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan pernah membangkitkan cadangan berkaitan pelaksanaan diat di Parlimen ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada tahun 2024.
Tambahnya, sudah tiba masanya kerajaan menilai sama ada mekanisme pampasan mandatori perlu diwujudkan dalam kes kemalangan akibat kecuaian serius seperti pemanduan mabuk atau di bawah pengaruh dadah.
“Adakah wajar keluarga mangsa terus bergantung kepada proses sivil yang panjang dan memakan kos untuk menuntut keadilan?” soalnya.
Azli menegaskan, keadilan sebenar bukan hanya tertumpu kepada menghukum pesalah, tetapi memastikan mangsa dan waris tidak dibiarkan tanpa pembelaan.
“Kita perlu melihat keadilan bukan hanya dari sudut undang-undang, tetapi juga dari sudut kemanusiaan yang lebih menyeluruh,” katanya.