Inisiatif Kerajaan Negeri menyalurkan modal tambahan kepada usahawan tani sempena program Jelajah Selangor Prihatin semalam, meringankan beban golongan tersebut. Exco Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim berkata jumlah berkenaan sebahagian dari hampir RM2 juta yang dibelanjakan bagi membantu petani sempena Jelajah Selangor Penyayang. Semalam seramai 24 petani di Hulu Langat menerima bantuan membabitkan peruntukan lebih RM400,000 melibatkan input seperti biji benih, baja dan mesin.
Program bantuan rakyat itu membuka tirai di Hulu Langat bagi mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat turut melibatkan penyertaan 23 anak syarikat Kerajaan Negeri. Inisiatif dijayakan menerusi peruntukan RM600 juta di bawah Iltizam Selangor Penyayang, menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.
Pengusaha dusun buah di Semenyih di Kajang, Safura Sani, 57, berkata sumbangan berjumlah RM45,000 menerusi pemberian baja, anak benih dan mesin pertanian membolehkan dusun 12 ekar yang diusahakan bersama petani lain mengeluarkan hasil lebih baik. Bantuan ini memang diperlukan terutama baja. Sekarang harga baja tinggi menyebabkan kami terpaksa mengurangkan kuantiti. Ini boleh menjejaskan kualiti buah sekali gus pendapatan kami. Jadi bila dapat bantuan ini, ia bukan hanya kurangkan belanja tapi bantu pokok keluarkan buah berkualiti,” katanya