SHAH ALAM — Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang akan bermula Jun ini, sebagai langkah proaktif menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis global di Asia Barat.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar Selangor, , yang menegaskan bahawa pakej berkenaan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, kestabilan harga makanan serta sokongan kepada sektor ekonomi utama negeri.
Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan program Jelajah Ehsan Rahmah yang akan diadakan sebulan sekali di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor, dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan.
Bagi menjamin keselamatan bekalan makanan, kerajaan negeri turut meningkatkan stok penimbal melalui program Gudang Makanan Selangor dengan peruntukan RM50 juta, khususnya bagi barangan asas seperti beras dan sumber protein.
Dalam masa sama, bantuan tunai melalui Baucar Kita Selangor akan disalurkan kepada 50,000 penerima, bernilai RM100 sebulan selama enam bulan, melibatkan peruntukan RM30 juta. Inisiatif ini bertujuan membantu rakyat menangani kos sara hidup melalui pembelian barangan keperluan asas.
Sektor pengangkutan awam juga tidak terkecuali apabila kerajaan memperkenalkan subsidi tambang melibatkan van DRT, bas dan kereta api. Bantuan bernilai RM30 sebulan selama enam bulan itu dijangka memanfaatkan 30,000 penerima dengan peruntukan keseluruhan RM5.4 juta.
Bagi meringankan beban ibu bapa, program bantuan sarapan percuma untuk pelajar sekolah akan diteruskan dan diperluaskan, melibatkan 873 sekolah di seluruh negeri dengan kos RM9.6 juta.
Dalam sektor pertanian, kerajaan negeri memperuntukkan RM25 juta bagi membantu kira-kira 17,237 penggiat sektor termasuk pesawah, nelayan, petani, penternak dan pengusaha akuakultur. Bantuan antara RM300 hingga RM600 sebulan selama enam bulan itu bertujuan menampung kos input pertanian serta kenaikan harga diesel.
Selain itu, usaha memperkasa ekonomi tempatan diteruskan melalui program Pemerkasaan Usahawan Koperasi Selangor dengan peruntukan RM6 juta. Inisiatif ini memberi fokus kepada pembangunan usahawan dalam sektor peruncitan dan logistik, di samping menyediakan geran kepada koperasi melalui program KOHIJRAH.
Menurut Amirudin, pakej ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, di samping memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dalam berdepan cabaran global yang semakin mencabar.