PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, menegaskan bahawa kaum dan warna kulit bukan faktor penentu keupayaan seseorang pemimpin melaksanakan amanah, sebaliknya rekod kerja, dasar dan hasil pelaksanaan harus menjadi ukuran utama.
Menjawab kritikan pembangkang termasuk Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Hannah menolak cubaan mengheret isu perkauman dalam pelantikannya, sambil menegaskan pendekatan kepimpinannya sejak awal kerjaya politik sentiasa berteraskan prestasi dan tanggungjawab, bukan latar belakang peribadi.
“Sejak 2008, sama ada sebagai Adun Subang Jaya, Speaker DUN Selangor, Ahli Parlimen Segambut, timbalan menteri mahupun menteri, tumpuan saya sentiasa kepada dasar, pelaksanaan dan hasil kerja. Warna kulit tidak pernah menjadi ukuran kepada keupayaan melaksanakan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengimbas perakam waktu pada jam 8 pagi bersama Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Lo Su Fui, di sini hari ini.
Hannah turut menegaskan bahawa beliau mahu rekod pencapaian dan prestasi pentadbiran menjadi bukti kepimpinannya, bukan polemik berunsur perkauman yang menurutnya hanya mengalihkan perhatian daripada keperluan sebenar rakyat di Wilayah Persekutuan.
Pelantikan Hannah dan Lo ke portfolio Wilayah Persekutuan sebelum ini dipersoalkan oleh pembangkang yang mendakwa ia sebagai usaha mengukuhkan dominasi parti tertentu di kawasan bandar, dakwaan yang turut dibidas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tidak wajar dan bersifat memecah-belahkan.
Mengulas hala tuju pentadbirannya, Hannah berkata keutamaan beliau adalah memperkukuh kerjasama dengan semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan yang memahami denyut nadi kawasan masing-masing, selain memastikan suara rakyat diberi perhatian dalam setiap dasar dan keputusan.
Beliau turut menggariskan visi untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan yang “bersih dari segi bentuk dan isi”, merangkumi aspek persekitaran serta tadbir urus yang telus dan berintegriti.
“Itu agenda utama saya. Bukan sekadar kebersihan fizikal, tetapi juga kebersihan dalam tadbir urus dan pengurusan,” katanya.
Menurut Hannah, isu-isu utama termasuk Kampung Baru, Kampung Sungai Baru serta peranan pihak berkuasa tempatan akan diteliti secara menyeluruh selepas beliau menerima taklimat terperinci daripada agensi berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau menegaskan komitmen untuk meneruskan segala urusan dan inisiatif yang telah dimulakan oleh menteri terdahulu, sambil menekankan pendekatan inklusif dan berfokus kepada kepentingan rakyat sebagai asas pentadbirannya di Wilayah Persekutuan.