Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa bahawa hanya Islam mampu menjadi penyelamat negara dan dunia serta menuduh pemerintahan semasa tidak berpandukan Islam, disifatkan sebagai satu salah faham besar terhadap konsep sebenar politik Islam.
Menurut Dr Zulqarnain, pandangan sedemikian lahir daripada kecenderungan menyamakan perjuangan politik PAS sebagai satu-satunya manifestasi Islam yang murni, sekali gus menafikan sumbangan dan usaha pihak lain dalam membangunkan Islam di Malaysia.
Hakikatnya, Islam tidak terikat dengan mana-mana parti politik dan tidak boleh dimonopoli untuk kepentingan kuasa.
Beliau merujuk kepada penjelasan Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Fauwaz Fadzil yang menegaskan bahawa antara kesilapan besar dalam wacana politik Islam ialah dakwaan kononnya Malaysia berada dalam keadaan tidak baik atau bukan sebuah negara Islam. Sebaliknya, Malaysia diiktiraf sebagai antara negara Islam terbaik di dunia dari sudut pembangunan institusi, syiar dan tadbir urus.
Mufti WP menjelaskan bahawa kekeliruan ini berpunca daripada dakwaan bahawa negara Islam telah hilang selepas runtuhnya sistem khilafah. Pandangan ini bercanggah dengan perbahasan ulama turath seperti Imam al-Juwaini yang menegaskan bahawa perubahan yang berlaku hanyalah pada struktur politik, daripada sistem khilafah kepada negara Islam berasaskan geografi. Selagi syiar Islam wujud, maka sesebuah negara itu masih boleh dianggap sebagai negara Islam.
Dr Zulqarnain menegaskan bahawa Malaysia jelas memenuhi ciri-ciri tersebut.
Kewujudan puluhan bank Islam, institusi takaful, ribuan guru takmir, sistem KAFA, mufti di setiap negeri, ribuan masjid dan surau, laungan azan yang bergema setiap hari, peruntukan Perlembagaan untuk Tabung Haji dan maahad tahfiz, pengurusan zakat berbilion ringgit serta pelaksanaan ibadah korban secara besar-besaran adalah bukti kukuh bahawa syiar Islam subur dan berkembang di negara ini.
Menolak pengiktirafan Malaysia sebagai negara Islam, menurut beliau, hanya akan melemahkan pembangunan ketamadunan Islam kerana umat Islam akan terus terperangkap dalam perbahasan sia-sia, sedangkan peluang melaksanakan Islam secara berperingkat mengikut kemampuan negara diabaikan.
Beliau turut menekankan perbezaan antara beriman kepada syariah dan pelaksanaan syariah. Keimanan terhadap undang-undang jenayah Islam adalah wajib, namun pelaksanaannya tertakluk kepada kemampuan, suasana dan tahap sesebuah negara, selari dengan prinsip siyasah syar’iyyah.
Dalam konteks politik semasa, Dr Zulqarnain berpandangan bahawa pendekatan politik rahmah dan madani yang menekankan pembinaan tamadun, kebajikan rakyat, keadilan sosial serta penglibatan wanita adalah lebih selari dengan keperluan Malaysia sebagai negara majmuk. Pendekatan Nabi Muhammad SAW di Madinah yang membina negara melalui perkongsian kuasa dan jaminan keadilan antara kaum wajar dijadikan pedoman.
Beliau turut mengingatkan bahawa PAS pernah menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan selama 33 bulan, dan peluang tersebut sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengangkat agenda Islam secara inklusif, bukannya dengan retorik yang menggambarkan negara sebagai rosak dan gagal.
Kesimpulannya, Dr Zulqarnain menegaskan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam yang kukuh dan berdaya maju. Perbahasan mengenai negara Islam atau bukan Islam hanya akan menimbulkan perpecahan, sedangkan yang lebih penting ialah dialog politik yang matang untuk mencari titik persamaan demi kestabilan, keamanan dan kemajuan negara. Seperti ditegaskan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Malaysia adalah sebuah negara Islam yang sangat hebat dan wajar dipertahankan bersama.