SHAH ALAM, 11 Nov – Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menyifatkan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak 40% hasil Sabah sebagai bukti nyata komitmen Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghormati Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, langkah itu menunjukkan kesungguhan kerajaan menyelesaikan kemelut berpuluh tahun yang tertangguh demi menunaikan hak rakyat Sabah yang termaktub dalam perlembagaan.
“Saya melihat keputusan ini membuktikan Kerajaan Madani pimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati perjanjian MA63 dan bersungguh untuk menyelesaikan kemelut puluhan tahun yang tertangguh demi memberikan hak rakyat Sabah,” katanya.
Azli berkata, pendekatan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah dalam menentukan perincian hasil 40% itu lebih harmoni dan selaras dengan semangat federalisme berbanding proses timbang tara mahkamah yang boleh memakan masa panjang.
“Kerajaan Madani memilih pendekatan berunding dengan Kerajaan Negeri Sabah mengenai perincian hasil 40% yang dituntut. Ini lebih adil dan jelas mengambil semangat federalisme ketimbang penyelesaian melalui mahkamah,” ujarnya.

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan keputusan tidak memfailkan rayuan itu dicapai dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri bersama Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar hari ini.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu memutuskan bahawa kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Hakim Celestina Stuel Galid turut mengisytiharkan pemberian khas yang dibuat antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sebagai tidak sah, ultra vires dan tidak rasional, serta mengarahkan semakan semula dilaksanakan dalam tempoh 90 hari dan disiapkan dalam masa 180 hari.