Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati bekas perdana menteri Najib Razak bersalah atas pertuduhan pertama pecah amanah jenayah yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang diselewengkan.
Pendakwaan menyifatkan kesalahan menggunakan kedudukan bagi suapan dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak sebagai antara ‘kes jenayah kewangan terburuk yang boleh dibayangkan’ di negara ini.
Sehubungan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, memohon Mahkamah Tinggi mengenakan hukuman penjara maksimum ke atas bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu berikutan sabitan terhadap kesemua 25 tuduhan berkenaan.
“Ini adalah jenayah kleptokrasi pada tahap paling teruk dan pengkhianatan mutlak terhadap amanah kerana tertuduh pernah memegang jawatan sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB,” katanya.
Ahmad Akram turut menekankan kesan buruk terhadap kewangan negara, dengan jumlah liabiliti 1MDB kini hampir RM50 bilion, yang mana kerajaan telah membayar kira-kira RM42 bilion dan baki hutang sekitar RM13 bilion.
Ahmad Akram memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi setiap pertuduhan dengan hukuman dijalankan berturutan selepas Najib menamatkan tempoh penjara sedia ada di Penjara Kajang berhubung kesalahan penyelewengan dana RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.Beliau juga memohon Najib didenda RM11.4 bilion, dikira sebagai lima kali ganda nilai suapan dalam pertuduhan salah guna kuasa, selain hukuman tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.
Mahkamah berhenti rehat seketika sebelum Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman. – Berita Harian