SEREMBAN: Umat Islam di negara ini perlu mengelak daripada mendapatkan perkhidmatan runding cara dan kaunseling keluarga daripada mereka yang tidak bertauliah seperti ‘Coach cerai’ yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, menegaskan sebaliknya mereka perlu merujuk kepada pihak berkuasa agama yang sah supaya nasihat atau kaunseling diberikan itu profesional dan dapat membantu mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Umat Islam sepatutnya mendapatkan khidmat runding cara dan kaunseling keluarga melalui saluran yang betul serta diiktiraf, antaranya Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Peguam Syarie, kaunselor bertauliah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Mereka yang mempunyai keahlian dalam jabatan dan agensi itu sudah cukup untuk menawarkan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan.
“Jadi individu yang menghadapi permasalahan ini (isu kekeluargaan) bolehlah merujuk kepada pihak-pihak yang diiktiraf supaya mereka mendapatkan nasihat yang sebaiknya.
“Jika kita menggunakan perkhidmatan yang tidak diiktiraf (bertauliah) dikhuatiri tidak akan dapat nasihat dan kaunseling yang betul mengikut tuntutan syarak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan 5 Sekolah Seri Setia di sini, lewat petang tadi.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Khalidah Omar.
Zulkifli mengulas hantaran di TikTok membabitkan seorang lelaki yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Coach cerai’ mendakwa apa yang dilakukannya diiktiraf di peringkat antarabangsa dan negara luar. -Berita Harian