KUALA LUMPUR, 10 November 2025 – Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Dato’ Wira Haji Mahfuz Omar menyifatkan PAS kini semakin kehabisan modal politik apabila terus menjaja fitnah terhadap kerajaan dengan memutar belit isu Perjanjian ART Malaysia–Amerika Syarikat, kononnya sebagai perjanjian “jual negara”.
Menurut Mahfuz, tuduhan tersebut hanya memperlihatkan kejahilan PAS terhadap isi kandungan sebenar perjanjian itu. Katanya, apabila gagal berhujah dengan fakta, PAS memilih untuk membuat bising dengan memainkan sentimen agama dan fitnah politik.
“Bila tak boleh berhujah, mereka pilih jalan bising. Inilah penyakit lama PAS: kalau bukan ceramah atas tikar sejadah, semua benda dikira ancaman akidah,” sindir Mahfuz dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Perjanjian Malaysia–Amerika (ART) tidak menggadai kedaulatan negara, sebaliknya membuka ruang kepada pelaburan, pemindahan teknologi dan peluang pekerjaan untuk rakyat.
“Dunia sedang bergerak ke depan, tapi PAS masih sibuk ukur panjang jubah. Bila rakyat naik taraf hidup, mereka tuduh terpengaruh Barat. Bila kerajaan buka pintu kemajuan, mereka kata jual negara,” ujarnya.
Mahfuz turut menyifatkan himpunan “Turun Anwar 2.0” yang digerakkan PAS sebagai pertunjukan politik kelompok yang hilang arah dan tidak membawa manfaat kepada rakyat.
“Dulu PAS janji nak bawa rakyat naik ke syurga, sekarang sibuk nak turunkan Anwar dari Putrajaya. Himpunan ‘Turun Anwar 2.0’ bukan perjuangan rakyat, tapi terapi politik untuk puak yang kehilangan hala tuju,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kerajaan hari ini sentiasa menjaga maruah serta kedaulatan negara dengan memperkukuh hubungan antarabangsa secara matang dan berprinsip.
“Malaysia bukan tunduk kepada Amerika, sebaliknya berdiri sama tinggi sebagai rakan strategik dalam dunia yang saling bergantung. Inilah semangat Malaysia Madani yang berpaut pada kekuatan sendiri tanpa menutup pintu kepada kerjasama global,” jelas beliau.
Mahfuz menutup kenyataan dengan sindiran sinis terhadap sikap PAS yang menolak kemajuan, mencadangkan agar parti itu mencipta versi baharu ART untuk diri sendiri – “Aku, Riuh, Tepi longkang.”