SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof menegaskan bahawa pertikaian melibatkan kerajaan Sarawak dan Petroliam Nasional Berhad berhubung kawalan sumber petroleum luar pesisir perlu diselesaikan melalui rundingan yang bersifat “menang-menang”, tanpa menjejaskan kepentingan ekonomi negara secara keseluruhan.
Memetik pandangan beliau di portal Free Malaysia Today semalam, cabaran undang-undang yang difailkan oleh Sarawak kini telah melangkaui isu teknikal atau pentadbiran, sebaliknya menyentuh asas kepada rangka kerja industri petroleum negara yang dibina sejak sekian lama.
“Petronas dan Sarawak harus mengadakan perbincangan dan mencari penyelesaian terbaik. Ia sepatutnya menang-menang, bukan hasil sifar,” katanya.
Azli yang juga pimpinan Parti AMANAH Negara turut mengingatkan bahawa kewujudan Akta Pembangunan Petroleum 1974 memainkan peranan penting sebagai asas pembentukan industri petroleum Malaysia, termasuk dalam pembangunan kepakaran, tenaga kerja dan ekosistem ekonomi yang menyeluruh.
Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan terhadap kerangka perundangan sedia ada perlu diteliti secara menyeluruh agar tidak menggugat kestabilan industri strategik negara.
Pertikaian antara kerajaan Sarawak dan Petronas semakin memuncak apabila kedua-dua pihak memfailkan tindakan di mahkamah bagi mendapatkan kejelasan undang-undang berkaitan kawal selia operasi minyak dan gas di negeri itu. Pada 23 Februari lalu, Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan beberapa undang-undang persekutuan termasuk Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 setakat pemakaiannya di negeri tersebut.
Langkah itu dibuat susulan permohonan Petronas pada Januari untuk mendapatkan penjelasan berkaitan rangka kerja undang-undang yang mengawal operasinya di Sarawak.
Isu ini dilihat semakin kompleks apabila ia bukan sahaja melibatkan persoalan pelesenan, tetapi turut menyentuh aspek perlembagaan termasuk bidang kuasa antara kerajaan persekutuan dan negeri dalam mengurus sumber petroleum luar pesisir.
Dalam konteks lebih luas, pertikaian ini turut menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan sistem petroleum negara, memandangkan Petronas telah menjana pendapatan melebihi RM2 trilion sepanjang lima dekad lalu, sekali gus menjadi tulang belakang kepada ekonomi Malaysia.
Kerajaan Sarawak pula menegaskan bahawa usaha tersebut adalah bagi mempertahankan hak negeri terhadap sumber petroleum dalam sempadan yang didakwa wujud sebelum pembentukan Malaysia, selain memberi jaminan bahawa kepentingan pelabur akan terus dipelihara melalui kejelasan dasar dan kawal selia.
Walaupun pelbagai pandangan dikemukakan oleh pemimpin politik dari kedua-dua belah pihak, Azli menegaskan bahawa keutamaan harus diberikan kepada kestabilan industri serta kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.