SERI KEMBANGAN – Polisi dan pengurusan rantaian bekalan oleh kerajaan negeri dan pusat dilihat berjaya memastikan bekalan keperluan asas di Selangor kekal stabil dan mencukupi bagi tempoh beberapa bulan akan datang.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Pasar Borong Selangor Seri Kembangan pagi tadi.

Menurut beliau, hasil pemantauan mendapati bekalan makanan asas seperti daging, ayam, beras dan sayur-sayuran masih berada pada tahap mencukupi, sekali gus menepis kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya gangguan bekalan dalam masa terdekat.
“Setakat ini, rantaian bekalan makanan negara masih berada dalam keadaan baik. Ini memastikan bekalan keperluan asas di Selangor kekal stabil,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi ramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di pasar borong berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang isu kekurangan atau kenaikan harga barangan di pasaran ketika ini bukan berpunca daripada krisis tenaga global, sebaliknya lebih dipengaruhi oleh faktor permintaan dan penawaran (supply and demand).
Dalam pada itu, Abbas menegaskan kerajaan negeri telah bersiap siaga dengan pelbagai inisiatif bagi menghadapi sebarang kemungkinan gangguan bekalan pada masa hadapan.
Antara langkah yang dikenal pasti termasuk pelaksanaan program Jualan Ehsan Rahmah (JER) serta penglibatan aktif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dalam memperluaskan jualan barangan keperluan pada harga berpatutan di seluruh negeri.

“Sekiranya berlaku kekurangan bekalan pada masa akan datang, program jualan seperti ini akan menjadi platform utama untuk membantu rakyat mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa berdasarkan taklimat semasa oleh pihak PKPS, situasi bekalan makanan di Selangor ketika ini masih berada dalam keadaan baik, stabil dan terkawal.