
Kewujudan Parti AMANAH Negara dalam kancah politik Malaysia bakal menjengah umur 10 tahun September 2025 ini. Dalam tempoh itu, Parti AMANAH telah berjaya memenangi Pilihan Raya Umum dan dinobatkan sebagai komponen parti pemerintah pada PRU 2018 dan 2022. 5 tahun sebagai kerajaan dan 5 tahun lagi sebagai pembangkang.
Pun begitu, hakikatnya pimpinan Parti AMANAH merupakan pimpinan yang berpengalaman sebagai pembangkang di Malaysia. Hal ini demikian kerana, pimpinan awal dalam Parti AMANAH merupakan anggota yang berakar umbi dan menjadi pucuk pimpinan PAS era 80an, 90an dan awal abad ke-21. Doktrin PAS hanyalah pimpinan Pari AMANAH menubuhkan parti tersebut kerana kecewa selepas tewas dalam pemilihan PAS pada tahun 2015. Persepsi itu dijaja semaksimum mungkin bagi mengaburi perkara pokok yang menjadi sebab utama pimpinan Parti AMANAH terpaksa meninggalkan parti PAS yang mereka bangunkan, korbankan sejak usia muda lagi.

Tewas dan menang dalam Pemilihan parti merupakan perkara biasa bagi Mohamad Sabu, Ustaz Ahmad Awang, Salahuddin Ayub, Dr Mujahid Yusof dan Mahfuz Omar. Bagaimana pun situasi yang melatari pemilihan PAS tahun 2015 lah menjadi asas mengapa parti baru wajar ditubuhkan. Sebelum pemilihan parti, pelbagai dakwaan dan cemuhan terhadap pimpinan PAS yang tidak selari dengan pemikiran serta hala tuju agamawan konservatif dalam PAS. Pertembungan itu bermula sejak pemilihan PAS tahun 2009 dan semakin tajam sehinggalah pemilihan PAS 2015. Kelompok agamawan konservatif meletakkan tembok besar dengan kelompok Islamis moderat di dalam PAS atas nama mempertahankan ‘kepimpinan Ulamak’. Kebetulan kelompok Islamis moderat kebanyakkan mereka berlatar belakangkan profesional dan aktivis, maka ‘kepimpinan ulamak’ dijadikan modal mereka menjauhkan kelompok Islamis moderat dari kepimpinan PAS.

Bibit PAS hendak dijadikan parti yang eksklusif hanya buat agamawan konservatif atau sealiran dengan pemikiran mereka mula muncul di dalam PAS. Malah fitnah dan pembohongan telah menjadi alat untuk mereka menjayakan misi untuk melenyapkan kelompok Islamis moderat yang jelas jauh berbeza pendekatan dengan agamawan konservatif. Penyingkiran pimpinan Parti AMANAH dalam pemilihan PAS telah menghakis sikap mahabbah dan berkasih sayang dalam setiap jemaah Islam. Payung inklusif yang digagaskan sejak kepimpinan Tuan Guru Hj Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor sebagai wajah politik Islam diruntuhkan oleh sikap kebencian dan permusuhan dalam PAS.


Justeru pilihan yang ada adalah menubuhkan sebuah parti baru untuk memaparkan nilai politik Islam yang sepatutnya setelah ia runtuh dan musnah dalam PAS. Pembentukan kompas PAS yang lebih sederhana namun menyengat, mesra kepada bukan Islam tetapi setiasa berusaha memperkasakan syariat Islam dan menjadi jurucakap bukan hanya kepada isu agama dan kekampungan, sebaliknya menjadi parti yang memimpin massa dalam menegakkan kebajikan dan keadilan rakyat perlu diteruskan oleh pimpinan dalam Parti AMANAH. Maka sebab itu matlamat utama Parti AMANAH ditubuhkan bukan hanya kerana tewas dalam pemilihan parti, namun lebih utama adalah untuk meneruskan pembawakan politik Islam yang tulus dan jelas di arena politik Malaysia.
Perjalanan Parti AMANAH menjadi lebih mencabar apabila pendekatan yang lebih keras dan bibit fanatik menjadi semakin jelas dan terbukti berlaku di dalam PAS hari ini. Parti AMANAH bertanggungjawab dalam menjernihkan semula kekeruhan yang telah dilakukan oleh PAS bukan kerana ingin memulihkan PAS, tetapi perlu untuk memulihkan persepsi awam kepada contoh parti politik Islam yang dirujuk kepada PAS. Akibat sentiasa mendabik dada bahawa PAS satu-satunya yang membawa politik Islam, masyarakat umum termasuk non-partisan dan bukan Islam melihat segala tindak tanduk PAS adalah tidak tanduk politik Islam. Hakikatnya yang berlaku dalam PAS tidak mencerminkan lagi politik Islam yang pernah digagas oleh pimpinan terdahulu.

PAS hari ini meriahkan dengan kekalahan saman fitnah di mahkamah terhadap lawan politik mereka. Saban hari ini mereka menelurkan kenyataan yang mungkin tidak tepat atau berbaur fitnah demi mendapatkan manfaat politik. Lebih malang lagi, sebahagian kes diselesaikan dengan permohonan maaf oleh pimpinan PAS kepada lawan mereka. Permohonan ini membuktikan bahawa hujah atau fakta yang diucapkan sebagai fitnah itu jelas disedari dan difahami oleh pimpinan PAS itu sendiri. Sebaliknya jika mereka tetap yakin akan fakta yang mereka ucap, mereka akan lawan sehabisnya di mahkamah. Memahami hakikat bahawa politik itu bersifat seni yang dimanipulasi, tetapi politik Islam jauh sekali menghalalkan pembohongan dan fitnah sebagai senjata politik.
Parti AMANAH yang wujud hari ini sentiasa meletakkan ketepatan fakta serta corak berpolitik yang sentiasa selari dengan konsep politik Islam. Malah paksinya tetap menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai teras. Malah Parti AMANAH berjaya memasakkan nilai politik Islam itu dalam pentadbirannya setelah diamanahkan memimpin kerajaan. Selain contoh yang masyur akan kejayaan Timbalan Presiden AMANAH, Dr Mujahid menjadikan gagasan Islam Rahmatan Lil Alamin sebagai konsep asas agama Islam dalam mentadbir dan berkehidupan ketika menjadi Menteri Hal Ehwal Agama pada tahun 2018, Parti AMANAH juga berjaya mengangkat matlamat politik Islam itu dengan kepimpina Ketua Menteri Melaka tahun 2018, Adly Zahari. Adly yang kini Naib Presiden AMANAH serta Timbalan Menteri Pertahanan mahu menghilangkan kelaparan, menghilangkan kejahilan serta menghilangkan kedukaan dalam kehidupan rakyatnya di Melaka. Tiga ‘K’ yang digagaskan ini selari dengan tujuan politik Islam dibina bagi memastikan rakyatnya mempunyai makan dan minum, rakyatnya terdidik bagi menjadi pelapis pembangunan negeri serta rakyatnya yang sentiasa selamat dan sihat.


Kembali kepada keadaan semasa PAS, demi mengepung pengundi melayu yang tidak disangka menyokong mereka dalam PRU 2022 serta PR enam negeri, PAS terpaksa meletakkan pendekatan kemelayuannnya yang lebih melayu daripada UMNO. Kenyataan serta tindakan politiknya bukan diwajahkan sebagai parti Islam, sebaliknya sebagai parti melayu yang jauh meminggirkan asas politik Islam. Tambah mengecewakan apabila isu melayu dijaja setelah PAS kembali menjadi pembangkang, sedangkan semasa diberi tanggungjawab sebagai pemerintah, PAS tidak langsung melaksanakan dasar atau usahanya demi membangunkan melayu Islam. Mengapa RUU 355 tidak dibentangkan di Parlimen ketika itu? Dimana bantahan PAS setelah cabutan judi dinaikkan semula ke 22 kali berbanding sebelumnya hanya 8 kali? Adakah PAS pernah meminta Menteri Kesihatan ketika itu mengharamkan penjualan vape? Pernahkan PAS memberikan idea bagaimana anak melayu boleh dibantu melalui MARA? Ini semua persoalan yang mampu menjelaskan PAS tidak berupaya berperanan dalam kerajaan.
Bagaimana pun selaku Presiden Parti AMANAH yang diamanahkan mengemudi kementerian yang didominasi serta mempengaruhi nasib orang melayu Islam, Mohamad Sabu tekad melunaskan tanggungjawab memperkasakan sektor pertanian sebaik mungkin. Berlandaskan kisah kepimpinan Nabi Yusof AS, Mohamad dan kerajaan MADANI mahu meletakkan pencapaian tertinggi dalam pengeluaran padi dalam negara menjelang tahun-tahun mendatang. Ia bukan sahaja mengelakkan kebergantungan beras import serta memastikan jumlah makanan mencukupi bagi rakyat Malaysia, lebih utama ia meningkatkan pendapatan dan taraf hidup petani yang hampir keseluruhannya terdiri daripada umat Islam.

Dalam keadaan PAS sentiasa bermain tali melalui pendekatan perkaumannya, Parti AMANAH merangkul semua pihak termasuk bukan Islam untuk merasai nikmat dan hikmat berada dibawa pendekatan politik Islam yang sebenar.
Apakah Parti AMANAH bukan sebuah parti Islam hanya semata-mata tiada kepimpinan ulamak? Melihat latar belakang kewujudan konsep kepimpinan ulamak, gesaan mewujudkan konsep tersebut bagi mengisi kekosongan yang terwujud setelah pendekatan Islamis Nasionalisme yang dipimpinan oleh Tan Sri Asri Muda meninggalkan PAS. Seiring dengan revolusi yang berlaku di Iran, maka konsep itu dipilih. Bagaimanapun adanya Majlis Syura Ulamak itu diwujudkan bagi meletakkan peranan ulamak sewajarnya dalam PAS. Bererti konsep kepimpinan ulamak menggunakan Majlis Syura Ulamak sebagai simbolik kepimpinan yang berperanan dalam PAS.

Pun begitu dalam Parti AMANAH pula, kedudukan Ulamak diletakkan dalam Majlis Penasihat Pakar melalui seorang Penasihat Umum yang kini disandang oleh bekas Yang Dipertua Persatuan Ulamak Se-Malaysia, Ustaz Ahmad Awang. Majlis Penasihat ini bukan sahaja dianggotai oleh agamawan sahaja, namun turut disertai oleh mereka yang pakar dalam perundangan negara, pentadbiran, pendidikan dan kesihatan. Nasihat dan pendapat yang dibentuk oleh Majlis Penasihat akan dijadikan sandaran kepada Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional sebagai pelaksana. Konsep yang sama dengan wajah yang berbeza.

Kesimpulannya menjelang usia 10 tahun Parti AMANAH, parti yang bertemakan oren itu berperanan membersihkan wajah politik Islam yang telah dikeruhkan oleh PAS. Tanggungjawab yang besar ini mendorong semua ahli AMANAH melihat kepada pendekatan dan konsep yang lebih luas dan lunak berbanding pendekatan PAS. Ahli AMANAH mesti memahami dan menjadi role model kepada msyarakat awam bahawa Parti AMANAH lah parti politik Islam yang selayak dan sesuai disandarkan seiring dengan penubuhan kerajaan perpaduan di Malaysia. Kesederhanaan dan keterangkuman yang dibawa oleh Parti AMANAH diperlukan sebagai salah satu komponen dalam Pakatan Harapan yang harus diberikan ruang dalam politik melayu Islam serta kepimpinan negara.