KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa individu yang disyaki terlibat dalam penyelewengan dana zakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agama.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mujahid Yusof Rawa berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Negara, kebanyakan NGO di negara ini sebenarnya mempunyai kefahaman jelas mengenai tatacara pentadbiran serta pengoperasian organisasi masing-masing.
“Sehubungan itu, kejadian penyelewengan seperti didakwa sepatutnya tidak berlaku kerana setiap NGO tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama) berpandangan isu berkenaan boleh diperkemaskan melalui penguatkuasaan Akta Kebajikan yang mengandungi ketetapan jelas berhubung operasi NGO termasuk had peratusan dana yang boleh digunakan sebagai kos pentadbiran.
Katanya, pelaksanaan akta tersebut secara tegas mampu memastikan setiap NGO mematuhi peraturan serta mengamalkan ketelusan dalam urus tadbir organisasi.
Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan yang cuba mengaitkan kes tersebut dengan AMANAH, sebaliknya menyifatkannya sebagai naratif yang bertujuan memburukkan imej parti berkenaan.
“Kes ini masih dalam siasatan dan ia tidak melibatkan dana yang diuruskan secara langsung oleh AMANAH,” tegasnya.