[DN Selangor] – Kerajaan Negeri Selangor terus memperkukuh agenda pemberdayaan wanita dengan memberi penekanan khusus kepada penyertaan golongan minoriti seperti Orang Kurang Upaya (OKU) dan Orang Asli melalui pendekatan pengarusperdanaan gender yang lebih menyeluruh.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, berkata usaha itu dilaksanakan menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi memastikan tiada kelompok wanita tercicir daripada manfaat program kerajaan negeri.
Menurut beliau, antara langkah utama adalah pengenalan modul Gender Mainstreaming yang kini sedang diperluas pelaksanaannya di peringkat jabatan dan agensi kerajaan negeri.
“Sehingga November 2025, sebanyak 11 jabatan dan agensi telah menjalani latihan kapasiti serta membangunkan pelan tindakan gender masing-masing bagi menyantuni kumpulan sasar secara lebih berkesan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei, pada Sidang Dewan Negeri Selangor.
Tambah beliau, sebuah manual pengarusperdanaan gender turut akan dibangunkan sebagai dokumen rujukan rasmi untuk diperluaskan ke semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri, sekali gus memastikan dasar inklusif dilaksanakan secara lebih sistematik.
Dalam masa sama, latihan pembangunan kapasiti akan diperluas kepada pemimpin wanita di peringkat komuniti seperti Ketua Kampung, Penyelia PWB, Ketua Komuniti India serta penggerak belia bagi memastikan program yang dirangka benar-benar mampu menarik penyertaan wanita minoriti.
Anfaal turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Tindakan OKU Selangor (KTOS), Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mengenal pasti serta mendekati kumpulan sasar secara lebih menyeluruh.
Sementara itu, menjawab soalan berkaitan indikator keberkesanan program, beliau berkata kerajaan negeri menggunakan beberapa petunjuk prestasi utama (KPI) meliputi aspek kepimpinan wanita, mobiliti jawatan, peningkatan kemahiran ekonomi serta penyertaan tenaga buruh.
Dari segi pencapaian pula, seramai 66,286 wanita direkodkan menerima manfaat secara langsung daripada pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan sepanjang tahun 2025 di peringkat negeri, DUN dan komuniti.
Beliau menegaskan, pendekatan inklusif ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan agenda pemberdayaan wanita dilaksanakan secara menyeluruh dan saksama tanpa meninggalkan mana-mana golongan.