Umum menyedari bahawa UMNO merupakan parti berpengaruh di Malaysia bukan sahaja sebagai parti pemerintah, namun menjadi organisasi yang bertanggungjawab membawa negara kearah kemerdekaan.
Dari satu sudut, jasa UMNO kepada negara tidak dapat dinafikan malah bukan boleh dipandang sebelah mata. Namun sebagai parti politik, UMNO juga tidak dapat lari dari ledakan perubahan dalaman serta cabaran menerima badan tekanan dari dunia persekitaran yang semakin rumit.
Jika dulu UMNO mampu menguasai naratif negara dengan mengawal sepenuhnya media massa yang menjadi santapan pengetahuan rakyat, tetapi kini UMNO berhadapan dengan keadaan yang rumit serta mencabar keupayaan mereka. Ruang rakyat untuk mendapatkan maklumat semakin besar, cepat dan tidak semestinya tepat. Dalam keadaan itu UMNO perlu memahami.
Sedangkan sejak penolakan rakyat kepada kerajaan BN pada tahun 2008, UMNO gagal memahami perihal ini. Malah sebahagian pemimpin UMNO ketika itu masih dalam sindrom penafian. Justeru itu, penggal demi penggal UMNO terus menerima sokongan yang merosot. Daripada 2008, membawa ke 2013, tumbang pada 2018 serta menjadi blok paling kecil dalam pertarungan PRU 2022.

Ini semua merupakan kesan daripada kegagalan UMNO beradaptasi dengan tekanan luar seperti ledakan akses maklumat, serta kawalan struktur dalaman parti yang lemah. Soalnya, mengapa rakyat menolak UMNO sejak 2008? Sedangkan UMNO banyak berjasa kepada negara?
Meskipun UMNO yang ada pada 2008 adalah UMNO baru yang ditubuhkan pada tahun 1989 serta mengambil semangat dan aset UMNO 1946, tetapi rakyat mula menyedari akan perubahan kompas perjuangan serta perjalanan UMNO buat negara. UMNO dilihat semakin elit dengan kuasa yang dimilikinya lebih 60 tahun itu sehingga rakyat merasa jauh dari UMNO.
UMNO terpalit dengan pelbagai dakwaan politik wang yang menghakis keyakinan rakyat untuk bersandar kepada UMNO. Lebih malang lagi, pihak asing serta tokoh yang pernah memimpin UMNO sendiri mula menekankan UMNO dalam isu politik wang ini menjadikan UMNO sahih berada dipihak yang salah. Rakyat menolak UMNO dari masa ke semasa. Harus disedari bahawa penolakan rakyat kepada UMNO satu ketika dahulu telah menjarakkan aspirasi UMNO dengan rakyat. Rakyat tidak melihat apa yang UMNO buat demi rakyat. Walaupun takut dengan ancaman kepada kedudukan melayu, sentimen penolakan lebih menebal dan kuat lantas tersunggur pada tahun 2018, terpinggir pada tahun 2022.
Bagaimanapun, kesediaan UMNO untuk bersama blok Pakatan Harapan, Gagasan Rakyat Sabah, Gabungan Parti Sarawak dan Parti WARISAN untuk mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan atas titah tuanku kembali membuka pemerhatian rakyat kepada UMNO.

Blok yang menjatuhkan mereka pada 2018 serta berseteru paling kurang sejak era reformasi 1998, perlu bersama mereka untuk menubuhkan kerajaan. Ini amat menjanggalkan tetapi berlaku.
Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid menjadi pemerhati ketika Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10. Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden UMNO duduk sebelah menyebelah dengan Nga Kor Ming(Naib Pengerusi DAP) dan Rafizi Ramli(Timbalan Presiden KEADILAN ketika itu). Keadaan yang tak pernah terlintas difikiran pemerhati politik serta orang awam. Namun itulah politik, serba kemungkinan.
Apa yang ingin dinyatakan disini bahawa, UMNO mula mendapat perhatian awam, malah prestasi menteri-menteri UMNO dalam kerajaan MADANI lebih cemerlang berbanding menteri dizaman UMNO memerintah secara solo. Idea dan kewibawaan hampir semua menteri daripada UMNO lebih menyerlah. Disini keyakinan rakyat mula meningkatkan kepada UMNO. Walaupun tidak 100 keyakinan itu kembali kepada UMNO, tetapi ruang mula terbuka luas kepada UMNO merangkul semula sokongan rakyat.
Bagaimana rakyat yang jauh dari UMNO, mula merapat sedikit demi sedikit. Tiba-tiba UMNO Negeri Sembilan telah meleburkan keyakinan rakyat yang semakin pulih kepada UMNO. Dalam rakyat sedang menumpukn serta menilai kepimpinan MADANI menangani tekanan krisis global, UMNO Negeri Sembilan membawa negeri kearah ketidakstabilan politik. Apa pun asas UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminudin Harun, rakyat nampak, UMNO Negeri Sembilan menjadi punca kepada krisis di negeri adat pepatih ini.

Seperti diawal tulisan ini tadi, salah satu sebab mengapa UMNO ditolak rakyat atas ledakan akses maklumat yang semakin mudah, cepat dan luas. Oleh itu dalam hal tindakan UMNO Negeri Sembilan ini, rakyat mudah mendapat maklumat tentang krisis yang berlaku. Meskipun UMNO Negeri Sembilan menyatakan alasan mereka bahawa Menteri Besar gagal menguruskan krisis adat yang berlaku, rakyat faham akan keadaan sebenar dimana isu yang berbangkit bukanlah tentang keupayaan Menteri Besar mentadbir negeri, tetapi tentang adat yang perlu diselesaikan mengikut perundangan adatnya.
Rakyat tidak nampak akan kewajaran UMNO Negeri Sembilan menarik diri dari kerajaan yang telah disokong oleh rakyat melalui kemenangan Pilihan Raya Ogos 2023 itu. Sebaliknya mengharapkan UMNO berganding bahu dengan PH membantu memudahkan urusan krisis adat yang telah berlaku.
Oleh yang demikian, reputasi UMNO tidak boleh terus dilunturkan melalui tindakan yang dibuat oleh UMNO Negeri Sembilan. Tidak berbaloi langkah UMNO Negeri Sembilan itu apabila ia mampu meruntuhkan kecemerlangan Menteri UMNO di peringkat persekutuan.

Mahu tidak mahu UMNO Malaysia perlu mengambil tindakan yang tepat iaitu meredakan semula ketidakstabilan politik ini serta UMNO Negeri Sembilan kembali semula menyokong kerajaan PH.
Dengan itu, rakyat melihat UMNO mendahulukan aspirasi rakyat berbanding kepentingan politiknya. UMNO kekal bersabar sehingga PRU demi menyumbang kestabilan, kemajuan dan keamanan negara. UMNO terus mendominasi kepercayaan rakyat.