
Prihatin terhadap nasib kanak-kanak mangsa kebakaran saluran paip gas minggu lalu, Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi mengambil inisiatif menceriakan suasana di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights dengan penubuhan sudut mainan ‘Toy Library’.
Abbas berkata, inisiatif tersebut terhasil hasil sumbangan pelbagai pihak yang turut bersolidariti terhadap 110 kanak-kanak yang kini berlindung di PPS tersebut.
“Mainan yang disumbangkan masih dalam keadaan baik dan selamat digunakan. Ia bertujuan mengisi masa lapang serta menceriakan anak-anak ini sepanjang mereka berada di sini,” katanya selepas menerima sumbangan mainan daripada wakil Toys Unlimited, Datin Poai Hong Wong.

Menurut beliau lagi, satu sudut khas turut diwujudkan untuk aktiviti santai dan pembacaan, memberi ruang kepada kanak-kanak mengekalkan keceriaan meskipun dalam situasi sukar.
Abbas menambah, jika PPS ditutup kelak, kesemua mainan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kegunaan masa hadapan.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak ini, tetapi juga mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap mangsa bencana,” katanya.- SelangorToday