 
                Baru sahaja selesai himpunan ‘Turun Anwar’ Sabtu lalu yang memperlihatkan 18,000 peserta(mengikut data polis) yang menyertai himpunan itu. Walaupun pembangkang menyatakan himpunan itu berjaya, namun sehingga hari ini, Anwar masih Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI masih tertegak.

Lebih mengelirukan, jumlah peserta yang agak ramai berbanding jumlah peserta yang berdemo ketika Himpunan Bersih yang lebih ramai itu hadir dengan tujuan dan kesedaran yang berbeza-beza. Tular di media sosial potongan-potongan video peserta himpunan yang gagal memahami apakah matlamat sebenar himpunan tersebut. Ada yang hadir untuk menurunkan Anwar tetapi memuj langkah Pengerusi PH itu menurunkan harga minyak serta memberikan bantuan khas kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas 31 Ogos ini.
Ada pula yang separuh sedar mahu Anwar turun tetapi gagal menamakan siapakah pengganti Anwar. Ini membuktikan bahawa mereka mahu menurunkan sang perdana menteri itu tetapi tidak memahami akibat jika beliau turun. Yang penting Anwar perlu diturunkan. Secara tidak langsung masyarakat telah diledakkan dengan sentimen yang memalsukan fakta serta membawa rakyat kepada sikap anti-establish yang melampau.

Justeru adanya himpunan yang turut dihadiri oleh musuh utama Anwar iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad itu telah menambah rekod kegagalan Anwar sebagai Perdana Menteri yang diktator di Malaysia. Satu kegagalan Anwar yang paling menyerlah apabila gagal beraksi sebagai seorang peneraju negara membangun dengan gaya dan pendekatan ‘kuku besi’. Walaupun Anwar dan PH khususnya sedang menerima defisit sokongan pengundi tegarnya akibat peranan politik PH pasca Kerajaan Perpaduan, tetapi kegagalan Anwar dari sudut mengawal semua aset kerajaan untuk membisukan suara rakyat bakal meningkatkan semula kepercayaan pengundi teras Anwar dan PH.
Himpunan yang bukan mewakili suara sebenar rakyat ini pun Anwar tetap benarkan sedangkan ia memahami kebenaran yang diberikan memberi risiko dan kesan yang pelbagai kepada manipulasi politik di Malaysia. Pun begitu, Kerajaan MADANI tetapi mempercayai kepada kebebasan bersuara itu asalkan ia tidak melibatkan Agama, Perkauman dan Raja-Raja. Soal ia dimanipulasi oleh pembangkang untuk mendapat keuntungan politik, Anwar menyerahhkan kepada jentera parti komponen Kerajaan Perpaduan untuk mengatasinya.

Lebih mengujakan dalam tempoh sebulan ini, Anwar berjaya melunturkan sikap ‘diktator’ yang mungkin sebahagian rakyat sangkakan kepada Anwar. Anwar membawa proses perlantikan penjawat Institusi Kehakiman secara tertib dan telus seiring dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Sedangkan sebelum ini orang tidak mempedulikan atau mengetahui tentang hal ehwal perlantikan ini. Sebaliknya teguran daripada kelompok Rafizi Ramli serta serangan pembangkang dalam isu kelewatan perlantikan Ketua Hakim Negara ini berjaya mencelikkan rakyat bahawa perlantikan itu mempunyai proses dan pertimbangan yang perlu diraikan. Walaupun Anwar mempunyai ruang menasihati Yang Dipertuan Agong atas nama yang perlu dicadang sebagai Ketua Hakim, tetapi dalam era Malaysia MADANI ini, Majlis Raja-Raja Melayu tetap berperanan bagi memastikan tiga cabang kuasa negara tidak tempang atau longgar.
Oleh itu, Anwar sekali lagi menjauhkan kapasitinya untuk disenaraikan sebagai pemimpin diktator dunia moden ini. Meskipun letih dan lelah menjelaskan kepada rakyat akan segala fakta dan hujah untuk membenamkan kepalsuan yang sering dicipta oleh pihak pembangkang, Anwar tetap tidak mengunci atau membunuh kerjaya mereka yang ingin bersuara. Kini satu fakta yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kerajaan Malaysia, tiada kerajaan yang membenarkan kritikan baik dari musuh dan sekutunya kecuali Kerajaan MADANI.

Anwar benar-benar menterjemahkan perjuangan sahabat baiknya Almarhum Ustaz Fadziil Noor dalam menegakkan keadilan dan menentang kezaliman. Ustaz Fadzil konsisten menentang amalan kezaliman pemerintah ketika Ustaz Fadzil memimpin pembangkang, lalu ia diterjemahkan dalam kerajaan oleh Anwar Ibrahim.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            