Bulan Ogos saban tahun membawa makna mendalam buat rakyat Malaysia. Ia bukan sekadar mengingatkan kita kepada tarikh keramat 31 Ogos 1957, saat negara mencapai kemerdekaan, tetapi juga kepada pengorbanan dan perjuangan yang membina sebuah negara berdaulat. Tidak lama selepas itu, tarikh 16 September 1963 pula menjadi detik penting dengan terbentuknya Malaysia melalui penyertaan Sabah dan Sarawak. Kedua-dua tarikh ini melambangkan sejarah panjang yang mengikat rakyat pelbagai kaum di bawah satu panji.
Simbol kepada semangat itu ialah Jalur Gemilang yang berkibar megah di bumi tercinta. Mengibarkan bendera bukan hanya soal hiasan luaran, tetapi lambang maruah negara dan identiti rakyatnya. Setiap jalur, warna, bulan dan bintang membawa makna tersendiri: bintang berbucu 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan, merah melambangkan keberanian, putih kesucian, biru perpaduan kaum, kuning kedaulatan Raja-Raja Berpelembagaan, sementara bulan dan bintang pula melambangkan agama Islam sebagai agama Persekutuan serta cita-cita rakyat yang bersatu.

Menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, kita melihat Jalur Gemilang dikibarkan di rumah, sekolah, pejabat, kenderaan dan jalanan. Fenomena ini membangkitkan rasa bangga. Namun, semangat itu tidak boleh berhenti pada simbol semata-mata. Ia mesti diterjemahkan dalam bentuk tanggungjawab: mempertahankan kedaulatan, mematuhi undang-undang, serta menyemai nilai murni dalam masyarakat.
Sesekali timbul isu kecil seperti bendera dipasang secara terbalik akibat kecuaian atau khilaf. Kesilapan sebegini harus dijadikan peringatan bahawa masyarakat masih perlu dididik tentang penggunaan Jalur Gemilang yang betul. Malah, perkara ini turut termaktub dalam Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, yang menggariskan bahawa bendera kebangsaan tidak boleh disalah guna, dihina atau dipamer secara tidak wajar. Sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Oleh itu, isu Jalur Gemilang perlu ditangani dengan penuh hikmah, bukan dijadikan modal politik atau diputar belit untuk kepentingan mana-mana pihak.
Akhirnya, Jalur Gemilang bukan sekadar sebuah lambang biasa. Ia adalah lambang pengorbanan darah dan air mata, serta semangat persaudaraan yang menyatukan kita di bawah satu panji. Menjelang 31 Ogos dan 16 September ini, marilah kita kibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga, hormat, dan cinta. Biar ia berkibar bukan sahaja di tiang dan bangunan, tetapi juga di hati setiap rakyat Malaysia.
Shamsul Ma’arif Ismail
Timbalan Pengerusi
Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional/ Naib Pengerusi Amanah Selangor