
Gagasan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sekadar satu dasar pentadbiran, tetapi merupakan legasi besar seorang pemimpin berjiwa ulama yang mengangkat martabat Islam dalam kerangka kenegaraan moden. Demikian pandangan Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara dan Ahli Dewan Negara, ketika mengulas sumbangan Allahyarham Tun Abdullah kepada landskap politik dan pentadbiran negara.
Menurut Dr. Mujahid, Islam Hadhari adalah usaha murni Tun Abdullah untuk menerjemahkan nilai-nilai Islam dalam urus tadbir negara secara menyeluruh, progresif dan berpaksikan maqasid syariah. Gagasan ini bukan bersifat retorik agama semata-mata, tetapi merupakan rangka kerja dasar yang menjadikan prinsip-prinsip Islam sebagai panduan dalam membina negara bangsa yang maju, adil dan sejahtera.
“Pak Lah meletakkan asas penting bahawa kemajuan negara mesti dipandu oleh nilai syariah. Ini adalah satu manifestasi dari kefahaman beliau terhadap Siyasah Syar’iyah, iaitu falsafah pentadbiran Islam yang menyatukan prinsip moral, keadilan dan kesejahteraan rakyat,” jelas Dr. Mujahid.
Dr. Mujahid juga menekankan bahawa Islam Hadhari lahir daripada keperibadian Tun Abdullah yang dibentuk oleh warisan keilmuan Islam yang kukuh. Beliau merupakan satu-satunya Perdana Menteri Malaysia yang berlatarbelakangkan pengajian Islam dari Universiti Malaya, serta berasal daripada susur galur keluarga ulama terkenal – datuknya, Tuan Guru Abdullah Fahim, dan ayahandanya, Tuan Guru Ahmad Badawi, adalah tokoh pendidikan pondok yang disegani.

“Tidak ramai yang sedar bahawa Islam Hadhari bukan hanya bicara spiritual semata, tetapi mengangkat elemen modal insan, integrasi nasional, pembangunan ekonomi dan inovasi, kesemuanya dalam kerangka Islam yang menyeluruh. Inilah keunikan pendekatan Pak Lah yang menjadikan Islam Hadhari relevan hingga ke hari ini,” ujar beliau lagi.
Semasa mentadbir negara antara tahun 2003 hingga 2009, Tun Abdullah berjaya membawa Malaysia ke era kestabilan politik, terutama selepas pilihan raya umum 2004 yang menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional. Gagasan Islam Hadhari menjadi landasan strategik kepada banyak inisiatif pembaharuan seperti Pelan Integrasi Nasional dan penekanan terhadap pembangunan insan yang holistik.
Walaupun berdepan cabaran politik dalaman UMNO dan desakan meletakkan jawatan pada 2009, Dr. Mujahid menyifatkan Tun Abdullah tetap dikenang sebagai negarawan yang tenang, tidak suka konflik dan tetap konsisten dengan pendekatan damai dan dialog.
“Pak Lah ialah pelopor reformasi halus dalam politik Malaysia. Islam Hadhari adalah peninggalan berharga yang membuktikan Islam mampu mendepani cabaran moden tanpa mengorbankan prinsip,” katanya.

Mengakhiri kenyataan, Dr. Mujahid berharap agar seluruh rakyat, khususnya generasi muda, akan terus mengkaji dan menghayati nilai-nilai yang dibawa oleh Islam Hadhari sebagai model pentadbiran Islam yang inklusif, berwawasan dan membina tamadun.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Tun Abdullah Ahmad Badawi. Nama beliau akan terus terpahat sebagai pemimpin Islam yang menjadikan agama sebagai rahmat kepada seluruh rakyat,” kata Dr. Mujahid.