
PANDAN INDAH, 7 Jun 2025 – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H, Pengerusi AMANAH Selangor merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah, Ir. Izham Hashim, mengingatkan umat Islam agar tidak melupakan makna sebenar di sebalik perayaan yang penuh berkat ini, iaitu semangat pengorbanan dan keikhlasan dalam mentaati perintah Allah SWT.
Menurut beliau, Aidiladha bukan sekadar satu perayaan, tetapi simbolik kepada ketaatan Nabi Ibrahim A.S. dan keikhlasan Nabi Ismail A.S. yang patut dijadikan teladan dalam kehidupan seharian.
“Hari Raya Aidiladha mengajar kita erti pengorbanan, ketaatan dan keikhlasan. Ia bukan sahaja relevan kepada individu, tetapi juga kepada masyarakat dan negara. Semoga ibadah korban yang kita lakukan diterima Allah SWT dan menjadi bekalan akhirat,” ujar beliau dalam perutusan khas sempena sambutan Aidiladha.

Dalam semangat meraikan hari yang mulia ini, Ir. Izham turut menjemput seluruh penduduk Pandan Indah dan kawasan sekitar untuk hadir ke Rumah Terbuka Aidiladha DUN Pandan Indah yang akan berlangsung seperti berikut:
Tarikh: 8 Jun 2025 (Ahad)
Masa: 7.30 malam
Tempat: Kompleks Muhibbah Taman Nirwana
Pelbagai juadah enak akan disediakan untuk para pengunjung, selain duit raya untuk kanak-kanak dan warga emas, serta cabutan bertuah yang menanti.
“Rumah terbuka ini bukan sahaja sebagai medan silaturahim, tetapi juga untuk menyemai semangat perpaduan dan kasih sayang sesama masyarakat. Saya menjemput semua lapisan rakyat untuk hadir bersama-sama memeriahkan malam Aidiladha,” tambah beliau.
Sambutan Aidiladha kali ini diharap dapat memperkukuh ikatan kemasyarakatan serta menyemai nilai pengorbanan yang tulen dalam diri setiap rakyat.