JOHOR BAHRU, 7 Mac – Pakatan Harapan (PH) Johor menetapkan tema “Johor MADANI” sebagai teras utama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, dengan penubuhan beberapa jawatankuasa strategik bagi memperkemas gerak kerja politik dan pentadbiran gabungan itu di negeri berkenaan.
Keputusan tersebut dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan PH Johor Bil.1/2026 yang berlangsung pada Jumaat, 6 Mac lalu di Trinidad Suite Puteri Harbour di sini.

Mesyuarat berkenaan turut menegaskan komitmen PH untuk bergerak secara lebih tersusun dan berfokus menjelang PRN, selaras dengan aspirasi “Johor MADANI” yang menekankan pembangunan inklusif, tadbir urus berintegriti serta kesejahteraan rakyat negeri itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut, PH Johor turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas keprihatinan kerajaan Persekutuan menyalurkan dana pembangunan yang besar kepada Johor.
Menurut kenyataan itu, komitmen berterusan kerajaan Persekutuan di bawah gagasan Malaysia MADANI mencerminkan semangat federalisme yang bertanggungjawab serta tidak pernah mengabaikan kepentingan pembangunan negeri.
“Kerjasama ini membuktikan kerajaan Persekutuan terus komited memastikan pembangunan Johor diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” menurut kenyataan berkenaan.
Bagi memperkukuh persediaan menghadapi PRN, PH Johor turut menubuhkan beberapa jawatankuasa utama termasuk Jawatankuasa Agihan Kerusi yang dianggotai wakil setiap parti komponen iaitu Jimmy Puah Wee Tse mewakili Parti Keadilan Rakyat, Dzulkifli Ahmad mewakili Parti Amanah Negara dan Wong Shu Qi mewakili DAP.

Selain itu, Jawatankuasa Isu dan Komunikasi akan dipengerusikan oleh Shaikh Omar Ali, manakala Jawatankuasa Penyelaras Menteri Persekutuan diketuai oleh Mohd Khuzan Abu Bakar.
PH Johor turut menubuhkan Jawatankuasa Johor MADANI yang dipimpin oleh Yashruddin Kosni bagi menggerakkan naratif serta program berkaitan agenda tersebut di peringkat negeri.
Sementara itu, bersempena bulan Ramadan, pimpinan PH Johor turut mengadakan majlis iftar serta sesi ramah mesra bersama pengamal media negeri ini sebagai sebahagian daripada usaha mengeratkan hubungan dengan rakan media.