
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang melaksanakan proses penguatkuasaan secara berfasa terhadap larangan pameran produk rokok di kaunter jualan, sebelum mengeluarkan notifikasi ketidakpatuhan atau surat amaran kepada premis yang ingkar.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pendekatan berfasa ini akan diteruskan sehingga 1 Oktober 2025, bagi memberi ruang kepada pemilik premis menyesuaikan diri dengan peraturan baharu di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852].

“Penguatkuasaan berfasa masih lagi berlangsung dan sekiranya berlaku ketidakpatuhan, kementerian akan mengeluarkan notifikasi atau surat amaran kepada pihak terbabit,” katanya dalam satu sidang media sempena Majlis Penyerahan Mesin Automated External Defibrillator (AED) di kementeriannya, pada Selasa.
Larangan tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan Akta 852 yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024, melibatkan aspek pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan serta larangan merokok di tempat awam.
Menurut beliau, larangan pameran produk rokok itu melibatkan lebih 51,000 premis peruncitan di seluruh negara. Justeru, proses penguatkuasaan secara berperingkat adalah penting bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dan memberi peluang kepada premis membuat penyesuaian yang sewajarnya.
KKM menyeru semua pemilik premis agar mengambil langkah segera mematuhi peraturan ini bagi mengelakkan tindakan amaran atau penalti apabila tempoh pelaksanaan fasa berakhir.