Malaysia terus mempamerkan kepimpinan dalam memajukan agenda kesihatan sejagat apabila mengetuai perbincangan penting mengenai kesihatan mulut sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-78 (WHA78) yang berlangsung di Geneva.
Acara sampingan bertemakan “Countdown to the UNHLM on NCDs: From Bangkok to New York” yang dianjurkan oleh Malaysia menekankan kepentingan Kesihatan Mulut sebagai komponen asas Kesihatan Sejagat (Universal Health Coverage, UHC) dan hak asasi manusia.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Dzulkefly Ahmad, Malaysia komited untuk memperluas liputan penjagaan kesihatan primer kepada 80% populasi menjelang 2030, dengan penekanan kepada akses lebih adil dan menyeluruh kepada penjagaan kesihatan mulut.
“Tiada kesihatan tanpa kesihatan mulut. Prinsip ini bukan sahaja termaktub dalam Deklarasi Bangkok, malah menjadi panduan utama pendekatan Malaysia dalam menangani penyakit tidak berjangkit (NCDs),” jelas beliau.

Antara inisiatif signifikan yang diketengahkan Malaysia di pentas global ialah kempen “Perang Terhadap Gula” yang dilancarkan pada tahun 2024. Ia merupakan strategi nasional yang menyasarkan pengurangan pengambilan gula, pencegahan penyakit mulut, serta peningkatan literasi kesihatan, khususnya dalam kalangan kumpulan rentan.
Dr Dzulkefly turut menegaskan bahawa Malaysia bersedia memainkan peranan penting dalam Mesyuarat Peringkat Tertinggi PBB mengenai NCDs yang dijadualkan berlangsung pada September ini, dengan membawa suara negara-negara membangun dalam usaha mengarusperdanakan kesihatan mulut sebagai sebahagian daripada agenda kesihatan global.
“Malaysia akan terus menjadi peneraju dalam memastikan setiap individu, tanpa mengira latar belakang, mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang terangkum dan saksama,” katanya.
Komitmen ini sekali lagi membuktikan peranan aktif Malaysia dalam mendokong prinsip keadilan kesihatan dan solidariti global demi membina sistem kesihatan yang lebih kuat, responsif dan inklusif untuk semua.