
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menyarankan agar para petani menerima penetapan harga kawalan maksimum baharu bagi benih padi sah (BPS) buat masa ini, meskipun berlaku penurunan harga sebanyak RM2.
Menurut beliau, kerajaan telah menetapkan harga BPS kepada RM52 di peringkat pemborong dan RM56 bagi runcit untuk setiap kampit 20 kilogram, berkuat kuasa mulai Selasa lalu. Penetapan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk keperluan untuk mengekang kenaikan kos input pertanian.
“Saya berharap para petani dapat menerima dahulu penurunan harga ini. Harga telah diturunkan sebanyak RM2 buat masa ini. Namun begitu, kerajaan akan terus memantau dan membuat semakan dari semasa ke semasa bagi memastikan harga ini kekal munasabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Perak di pekarangan Pertubuhan Peladang Kawasan Tapah, hari ini.
Mohamad Sabu turut menegaskan bahawa kementeriannya sentiasa peka terhadap keluhan dan tuntutan petani, selagi ia bersifat wajar dan memberi manfaat kepada keseluruhan sektor pertanian.

“Pihak kementerian sentiasa mendengar dan terbuka terhadap sebarang pandangan atau tuntutan yang dikemukakan petani. Yang penting, ia mestilah munasabah dan tidak membebankan mana-mana pihak,” jelas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk pengusaha dan orang ramai atas kerjasama dalam memastikan kestabilan harga barangan keperluan menjelang musim perayaan yang lalu.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar dan Ketua Pengarah LPP, Amir Matamin.