
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa siasatan insiden kemalangan tragis di Teluk Intan yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan memberi tumpuan kepada mengenal pasti kelemahan sistemik, bukan mencari kesalahan mana-mana pihak.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan berhubung penubuhan pasukan petugas khas yang diketuai Brigadier Jeneral Tan Chee Kee, Ketua Inspektor Kemalangan Udara, yang kini giat menjalankan siasatan dan diberi masa 30 hari bermula 15 Mei untuk menyerahkan laporan awal.
“Fokus utama siasatan ini bukanlah untuk menuding jari kepada mana-mana pihak, tetapi mengenal pasti kelemahan sistem sedia ada dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan secara sistematik dan berkesan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” kata Loke.
Menurut beliau, pasukan petugas ini akan menyiasat secara menyeluruh punca kejadian, termasuk kemungkinan kegagalan teknikal kenderaan, dan menilai tahap keberkesanan penguatkuasaan serta peraturan sedia ada dalam industri pengangkutan.
“Pasukan ini turut diberi mandat menilai semula garis panduan, infrastruktur serta penggunaan teknologi keselamatan yang relevan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” tambahnya.
Antara yang menganggotai pasukan petugas khas ini ialah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, dan Ahli Parlimen PAS, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin, bersama pakar pelbagai bidang dan wakil agensi utama negara.

Dalam tragedi yang berlaku Selasa lalu, sebuah trak FRU yang dalam perjalanan pulang dari tugas kawalan keselamatan di Ipoh dirempuh lori membawa batu kerikil. Nahas itu menyebabkan sembilan anggota FRU maut, manakala dua lagi mengalami kecederaan parah. Siasatan awal mendapati lori berkenaan mungkin mengalami kegagalan sistem stereng.
Anthony Loke menegaskan, hasil siasatan dan cadangan penambahbaikan akan diteliti secara menyeluruh untuk dipertimbangkan di peringkat dasar dan operasi.
“Kementerian akan memastikan segala dapatan dimanfaatkan untuk memperkukuh keselamatan jalan raya demi mengelakkan tragedi seperti ini daripada berulang,” katanya.