SM Ismail
Dalam landskap politik Malaysia hari ini, isu kaum, agama dan institusi diraja yang sering dirujuk sebagai 3R (Race, Religion, Royalty) terus menjadi senjata utama sebahagian pihak tertentu dalam meraih sokongan politik.
Daripada menawarkan dasar yang kukuh, penyelesaian ekonomi yang praktikal, atau gagasan reformasi yang meyakinkan, pendekatan memainkan sentimen 3R dilihat lebih mudah kerana ia menyentuh emosi rakyat sekaligus bakal pengundi secara langsung dan pantas.
Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan rakan gabungan sering menjadi sasaran naratif melampau bahawa kononnya mereka akan mengancam kedudukan Melayu-Islam, melemahkan institusi Raja-Raja Melayu, serta membuka ruang kepada agenda yang bercanggah dengan identiti negara.
Tuduhan seperti ini sering dimainkan tanpa konteks yang adil, malah kadangkala dibina atas potongan kenyataan, manipulasi media sosial, dan retorik ceramah politik yang bertujuan menimbulkan ketakutan.
Hakikatnya, Perlembagaan Persekutuan telah dengan jelas meletakkan asas negara yang tidak boleh dipermainkan. Perkara 3 memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian dalam Persekutuan.
Perkara 153 pula melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain.
Institusi Raja-Raja Melayu pula dipelihara melalui Perkara 32, Perkara 38 dan keseluruhan struktur Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang kestabilan negara.
Selain itu, Akta Hasutan 1948 [Akta 15], Kanun Keseksaan (Seksyen 298A dan peruntukan berkaitan keharmonian awam), serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut memberi ruang tindakan terhadap pihak yang sengaja menghasut kebencian kaum, agama atau menghina institusi diraja.
Ini menunjukkan bahawa negara bukan sahaja mempunyai perlindungan kukuh dan kuat dalam perlembagaan, tetapi juga instrumen undang-undang yang jelas bagi mengawal penyalahgunaan isu 3R oleh mana orang atau kumpulan yang mempunyai niat yang melanggari undamg-undang negara.
Hakikatnya tiada ada mana-mana usaha daripada pihak kerajaan yang mencabar asas ini.
Sebaliknya ialah Kerajaan sentiasa teguh menjaga kedudukan Perlembagaan dan mempertahankannya setiap masa.
Namun, persepsi yang dibina melalui propaganda secara berulang-ulang kali telah menjadikan sebahagian rakyat mudah terpengaruh dengan persepsi buruk tersebut.
Yang mereka mahukan adalah pengundi muda dan atas pagar akan terus terpengaruh demi hanya sebuah undi demi sebuah kuasa yang mereka idamkan.
Naratif bahawa kerajaan mahu menghapuskan Hak Orang Melayu, melemahkan atau menghakis kedudukan Agama Islam, merendahkan status Bahasa Melayu atau mencabar institusi raja sering kali dibina atas persepsi politik, bukan fakta perundangan terutama penulis upahan berselindung atas nama samaran dalam sosial media.
Isu 3R menjadi lebih berbahaya apabila ia digunakan bukan untuk mempertahankan prinsip, tetapi untuk melindungi kepentingan politik sempit.
Apabila sentimen agama dijadikan alat menyerang lawan politik, agama kehilangan kemuliaannya sebagai sumber perpaduan dan keadilan.
Apabila isu kaum dijadikan senjata menakutkan rakyat, masyarakat menjadi semakin terpisah dan saling curiga.
Apabila institusi diraja dipetik secara selektif untuk menyokong agenda partisan, maka kestabilan institusi itu sendiri boleh terjejas.
Pembangkang sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang yang matang mengkritik polisi kerajaan berdasarkan prestasi, integriti, ketelusan dan keberkesanan pentadbiran. Rakyat memerlukan perbahasan tentang kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, reformasi institusi dan masa depan ekonomi negara, bukan politik ketakutan yang berulang setiap musim pilihan raya.
Politik yang sihat menuntut keberanian untuk bersaing dengan idea, bukan eksploitasi emosi. Jika pembangkang terus bergantung kepada naratif 3R sebagai modal utama, ia menunjukkan kegagalan mereka menawarkan alternatif yang lebih baik kepada rakyat.
Malaysia tidak akan maju jika politiknya terus terperangkap dalam kitaran syak wasangka dan perpecahan.
Sudah tiba masanya semua pihak, termasuk pembangkang, tidak kira bekas pimpinan parti tertentu mahupun siapa sahaja untuk meninggalkan gaya politik lama yang berasaskan sentimen ketakutan dan memupuk kebencian.
Sesungguhnya Negara ini memerlukan kematangan politik, bukan provokasi berterusan. Rakyat berhak mendapat persaingan politik yang membina masa depan, bukan sekadar mempertahankan kepentingan kuasa melalui sentimen yang memecah-belahkan bangsa.