SHAH ALAM – Pengerusi AMANAH Selangor, Dato’ Ir. Izham Hashim menegaskan bahawa pendekatan politik berasaskan sentimen kaum dan agama yang sering dimainkan oleh (PAS) tidak sesuai dengan realiti masyarakat majmuk di negeri Selangor.
Menurut beliau, kerajaan negeri yang diterajui gabungan bersama parti-parti komponen seperti , AMANAH dan sentiasa menumpukan kepada aspek kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri secara menyeluruh tanpa mengira kaum dan agama.
“Selangor merupakan negeri yang bersifat multiracial dan multicultural. Ia sebenarnya melambangkan wajah Malaysia yang sebenar – sebuah negeri kosmopolitan, maju dan menjadi tumpuan masyarakat pelbagai latar belakang untuk mencari rezeki,” katanya.
Beliau berkata, kestabilan politik dan pengukuhan ekonomi perlu berjalan seiring bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin, selain memastikan pentadbiran negeri dipimpin oleh pemimpin yang berintegriti, amanah dan bertanggungjawab.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga sentiasa mengambil kira sensitiviti semua kaum dan agama dalam setiap dasar serta pelaksanaan yang dibuat demi memastikan keharmonian masyarakat terus dipelihara.
Mengulas isu berkaitan kaum dan agama yang sering dimanipulasi pihak pembangkang khususnya PAS, Izham berkata pendekatan sedemikian tidak membantu keharmonian negeri, malah bercanggah dengan realiti kepelbagaian masyarakat di Selangor.
“Pendekatan politik ekstrem dan memainkan sentimen perkauman atau agama tidak akan membantu membina sebuah negeri yang harmoni seperti Selangor,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa cabaran sebenar pentadbiran negeri bukan sekadar mengurus negeri yang majoritinya terdiri daripada satu kaum atau agama, sebaliknya bagaimana untuk mentadbir sebuah negeri yang seimbang dari segi komposisi kaum dan keperluan agama seperti Selangor.
“Keupayaan sebenar ialah bagaimana kita menguruskan negeri yang mempunyai keseimbangan antara Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain, di samping memenuhi keperluan setiap agama secara adil dan harmoni,” ujarnya.