SHAH ALAM, 20 Mei — Timbalan Ketua Pemuda , menegaskan semua pihak perlu menghormati Perlembagaan serta institusi Raja-Raja Melayu dalam setiap kenyataan dan tindakan politik.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata seorang ahli politik dan figura legislatif senior sepatutnya lebih berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan yang melibatkan institusi diraja kerana isu tersebut bukan sekadar soal teknikal kuasa, tetapi turut melibatkan sensitiviti, adab kenegaraan dan semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Sudah-sudahlah. Kita boleh berbahas soal undang-undang dan Perlembagaan, tetapi jangan sampai gaya dan nada kenyataan dilihat memperkecil institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.
Danial berkata, apabila sesuatu teguran daripada Istana telah dikeluarkan, pemimpin yang matang sewajarnya memilih pendekatan untuk meredakan keadaan dan bukannya terus mengulas dengan nada yang boleh mencetuskan polemik politik.
Beliau turut mengingatkan bahawa negara ketika ini sedang berdepan cabaran ekonomi dan geopolitik yang memerlukan semua pihak memberi fokus kepada usaha memperkukuh perpaduan nasional.
“Teguran Tuanku khusus kepada individu tertentu sangat jelas. Hormatilah Perlembagaan. Hormatilah institusi negara. Hormati institusi Raja-Raja Melayu. Full stop,” katanya lagi.
Kenyataan itu dikeluarkan atas kapasiti beliau sebagai Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional.