SHAH ALAM, 9 Mei — Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) membidas kenyataan bekas EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu, yang didakwa terus mempolemikkan isu yang telah diputuskan kerajaan negeri dan melibatkan titah institusi Raja Berperlembagaan.
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor, menegaskan bahawa Ronnie sepatutnya lebih memahami tanggungjawab menghormati institusi Raja Berperlembagaan memandangkan beliau pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat dan anggota pentadbiran negeri.
Menurut beliau, ketika berada dalam kerajaan dahulu, Ronnie sendiri menggunakan pendekatan pentadbiran yang berlandaskan dasar, undang-undang serta pertimbangan kerajaan negeri.
“Jangan jadi hipokrit hanya kerana kini berada di luar pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Danial berkata, isu berkenaan bukan sekadar melibatkan sentimen politik atau soal “cari makan” semata-mata, sebaliknya turut menyentuh tanggungjawab kerajaan dalam menjaga kepentingan awam, keharmonian masyarakat, alam sekitar serta dasar pembangunan negeri secara menyeluruh.
Beliau turut menyifatkan kenyataan Ronnie yang cuba membina persepsi negatif terhadap institusi dan keputusan kerajaan negeri sebagai tidak bertanggungjawab.
“Sekiranya kenyataan tersebut tidak ditarik balik dan permohonan maaf tidak dibuat, Pemuda AMANAH tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas dan keras terhadap kenyataan berunsur provokasi seperti ini,” tegasnya.
Dalam masa sama, Danial menegaskan pendiriannya sebagai ADN Selangor yang menjunjung kasih serta menghormati titah Tuanku, selain mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan sebagai asas kestabilan dan keharmonian negeri.