Sejak 2023 lagi, Parti AMANAH Negara Negeri Johor banyak memainkan peranannya sebagai pengimbang di Negeri yang diperintah oleh BN itu. Melalui keserasian yang dibina semasa Pilihan Raya Kecil di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai, menyebabkan AMANAH dan Pakatan Harapan perlu sama-sama menyertai Kerajaan Negeri Johor sama seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Melaka pimpinan BN.

Permainan persepsi boleh dimainkan seolah-olah AMANAH tamak dan rakus mengondol pelbagai jawatan di peringkat negeri apabila mendesak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Johor. Hakikatnya, gesaan itu dibuat bagi perjalanan Kerajaan Negeri Johor lebih lancar dan sering dengan Kerajaan Persekutuan memandangkan Kerajaan Persekutuan bertunjangkan gabungan PH dan BN. Justeru gesaan itu bagi mengelakkan sebarang ‘politiking’ di Johor yang pastinya merimaskan rakyat persis yang berlaku selepas bencana Langkah Sheraton terjadi.

Namun BN Johor sendiri yang bersikap politiking dengan melihat gesaan AMANAH itu sebagai ancaman buat kedudukan mereka walaupun banyak memberi kelebihan kepada rakyat. Hari ini jelas UMNO dan BN Johor berselirat dengan pelbagai tekanan dan konfik yang mereka sendiri cetuskan. PH pula bergerak dengan kemas dan telah pun bersedia dari awal untuk mengajar BN semula soal memilih kestabilan dan kemakmuran berbanding kepentingan politik sendiri. PH juga membuktikan sebarang pengkhianatan dibuat akan menerima balasannya. Ini terjadi kepada mereka yang khianat kepada PH 1.0 dan Anwar Ibrahim, mereka semua(pimpinan BERSATU) ditolak mentah-mentah oleh rakan mereka dalam PN.
Jelas setelah DUN dibubarkan sehingga pengumuman calon AMANAH selain KEADILAN dan DAP dilihat bersedia dan lengkap untuk memasuki pilihan raya kali ini. Kerusi yang mereka sasarkan telah mempunyai calon yang berupaya dan memahami masalah setempat. Malah mereka telah turun sekian lama berkhidmat sebagai penyelaras DUN di kawasan mereka. Barisan calon yang disenaraikan AMANAH pula dilihat berani dan meyakinkan.

Sebagai pimpinan utama AMANAH Johor, Sr. Dzulkefly Ahmad diberi peluang untuk menawan semula kerusi yang pernah dimenanginya pada PRU 2018. Beliau merupakan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang telah berkhidmat dibawah PH 1.0. Sebagai EXCO Perumahan, aksi beliau menjadi perhatian umum bagi menyelesaikan tekanan dan isu yang melanda rakyat Johor khususnya golongan keluarga muda dalam menghadapi perihal perumahan. Melalui DUN Kota Iskandar, beliau harus diberi peluang sekali bukan sahaja untuk menjaga Kota Iskandar yang beliau sentiasa jaga meskipun kalah, sebaliknya untuk rakyat Johor menerima limpahan kebijaksanaan dan keupayaan mentadbir negeri khas untuk mensejahterakan rakyat.

Bukan setakat itu, bekas Speaker DUN Johor era PH 1.0, Suhaizan Kayat juga diangkat sekaligu sebagai calon untuk merempuh EXCO Johor dari BN di DUN Larkin. Tidak sehari dua beliau berkecimpung dalam denyut nadi rakyat Johor, sebaliknya dari bawah kepada Ketua Pemuda PAS Pusat sehingga menjadi penggerak AMANAH Johor, beliau telah berpencak silat menguruskan permasalahan rakyat negeri Selatan Malaysia itu. Pengalamannya mengemudi dewan satu ketika dahulu serta cekalnya beliau berjuang era anti-BN dahulu, mencondongkan pemilihannya untuk dihantar sekali lagi ke DUN Johor. Apa yang difahami, meskipun PH membawa agenda pembaharuan dan reformasi kepada Negeri Johor, tetapi perubahan itu mesti dilakukan oleh mereka yang mempunyai pengalaman dan daya upaya untuk mengangkat agenda itu. Oleh itu, menampilkan calon berpengalaman menjadi keutamaan AMANAH berbanding UMNO yang membawa kembali calon veterannya yang telah menjadi wakil rakyat di Johor sejak 2004 lagi.


Selain AMANAH memilih agenda progresif ke depan bersama PH berbanding BN yang kekal dengan gaya politik lama, AMANAH juga berani menampilkan enam calon dikalangan anak muda dalam PRN Johor kali ini. Selepas Taqiuddin Cheman bekas ADUN Pulai Sebatang dan juga Ketua Pemuda AMANAH Johor, AMANAH juga menampilkan Pengarah Hal Ehwal Syariah Pemuda AMANAH Nasional iaitu Nur Hafiz Roslan. Nur Hafiz merupakan kelompok anak muda yang mewakili golongan profesional. Beliau adalah peguam syarie dan perunding keluarga Islam. Aset yang ada pada AMANAH diposisikan mengikut keperluan masyarakat. AMANAH tidak sembrono memilih calon anak muda tanpa keupayaan dan latar belakang yang kukuh untuk memimpin rakyat, sebaliknya memilih Taqiuddin dan Nur Hafiz sebagai calon yang apabila menang kelak, rakyat rasa kepimpinannya. Nur Hafiz akan mencabar Menter Besar Johor sendiri di DUN Machap.

Kemudian, seperti lazimnya, AMANAH tidak meminggirkan peranan wanita sebagai nadi penggerak masyarakat Malaysia. Justeru bukan atas sebab beliau wanita, tetapi kecaknaannya mengurus kebajikan rakyat serta kebolehannya menyampaikan mesej kesedaran kepada umum membolehkan, Elia Nadira Sabudin diangkat sebagai calon DUN Tenang bagi pertarungan kali ini. Pengarah Komunikasi Wanita AMANAH Johor itu telah mula menjalankan khidmat baktiknya melalui aktiviti kebajikan. Malangnya, UMNO-BN yang sebelum ini meletakkan seorang wanita sebagai wakil rakyat di DUN Tenang, telah meminggirkan kelompok wanita dengan memilih calon lelaki dalam PRN kali ini. Apabila jumlah wakil wanita di pentadbiran terhad, seperti yang dibuat BN, maka suara dan dasar yang dibuat untuk wanita akan tenggelam. Ini melayakkan Elia wajib dipilih sebagai wakil rakyat DUN Tenang.

Banyak calon AMANAH yang berkaliber, belum lagi calon KEADILAN dan DAP. Bagiamana pun tumpuan terarah ke DUN Permas, apabila AMANAH menampilkan calon bukan melayu dalam PRN kali ini. Ketua Wanita Muda AMANAH Johor iaitu Sharon Teo merupakan calon AMANAH bagi DUN Permas. Bekas anak didik Almarhum Datuk Salahuddin Ayub itu dihantar sebagai salah satu strategi memecah dominasi sentimen perkauman yang sering membelenggu rakyat Malaysia. Pemilihanya sebagai simbol aspirasi AMANAH membawa gagasan ‘Islam Rahmat Untuk Semua’ yang sepatutnya difahami dan dihayati umat Islam. AMANAH tak gentar dengan tohmahan dan kekalahan apabila meletakkan beliau disitu, apa yang utama adalah mesej AMANAH sampai bagi melihat politik adalah pentas untuk menegakkan prinsip Islam buka alat tunggangan.
Kesimpulannya, AMANAH kali ini dilihat tampil berani dan menyakin dalam menggugat keangkuhan BN serta meranapkan terus gelombang PN yang pernah melanda negara. Tak banyak keuntungan pun apabila gelombang PN meletus, BN pula kekal dengan gaya lama yang membawa Johor dan Malaysia mundur ke belakang. PH adalah pilihan paling baik dan patut dalam Pilihan Raya kali ini.