SHAH ALAM, 22 Jun – Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan inisiatif Baucar Kita Selangor (BKS) 2026 sebagai langkah segera membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup susulan ketidaktentuan ekonomi dan krisis bekalan global.
Pelancaran BKS merupakan antara langkah utama di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang telah dibentangkan dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, seramai 50,000 keluarga bakal menerima bantuan bernilai RM100 sebulan selama enam bulan bagi membantu menampung kos keperluan harian serta mengurangkan beban kenaikan harga barang.
Menurut beliau, penerima bantuan akan dikenal pasti melalui pangkalan data Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, termasuk mereka yang pernah memohon bantuan tetapi masih belum menerima manfaat di bawah program sedia ada seperti Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).
“Proses penyelarasan turut dilaksanakan bersama agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain penerima yang dikenal pasti menerusi pangkalan data kerajaan, Kerajaan Negeri turut membuka ruang khas kepada golongan ibu tunggal yang bekerja dan menyara keluarga untuk memohon bantuan ini.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, peluang tersebut diberikan khusus kepada ibu tunggal yang mempunyai pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi golongan berkenaan.
Menurut beliau, golongan ibu tunggal merupakan antara kelompok masyarakat yang sering berdepan tekanan berganda kerana perlu menanggung kos sara hidup keluarga, pendidikan anak-anak serta pelbagai komitmen harian secara bersendirian.
“Yang turut menyentuh hati saya adalah apabila Kerajaan Negeri tidak melupakan golongan ibu tunggal yang gigih bekerja dan berkorban demi menyara serta membesarkan anak-anak. Memahami cabaran yang mereka hadapi setiap hari, peluang khas turut dibuka kepada ibu tunggal dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah untuk memohon bantuan ini secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata, walaupun nilai bantuan RM100 sebulan mungkin dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun ia mampu memberikan kelegaan kepada keluarga yang terpaksa mengurus perbelanjaan harian dengan penuh berhati-hati dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.
“Bagi mereka yang setiap hari perlu mengira perbelanjaan dapur, tambang, keperluan anak-anak dan pelbagai komitmen lain, bantuan ini pastinya memberi sedikit kelegaan,” ujarnya.

Penerima yang dikenal pasti boleh membuat pengesahan maklumat secara dalam talian menerusi portal rasmi www.baucarkitaselangor.com bermula jam 12 tengah hari pada 23 Jun 2026. Pada masa yang sama, ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan turut boleh mengemukakan permohonan melalui portal yang sama.
BKS merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup. Selain itu, program BINGKAS akan terus diteruskan dengan bantuan RM300 sebulan kepada 30,000 keluarga yang layak.
Kerajaan Negeri turut menegaskan bahawa bantuan kewangan bukanlah penyelesaian jangka panjang. Justeru, pelbagai inisiatif pemerkasaan ekonomi, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan akan terus diperkukuhkan termasuk menerusi Program Kerjaya Selangor bagi membantu rakyat meningkatkan pendapatan dan membina kehidupan yang lebih mampan.