 
                PUTRAJAYA, 24 Oktober — Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru semua petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat banjir supaya segera melaporkan segala kerosakan harta benda atau kehilangan pendapatan kepada pejabat pertanian dan agensi berkaitan yang terdekat.
Menurut beliau, laporan awal amat penting bagi membolehkan kementerian meneliti situasi sebenar di lapangan dan menyalurkan bantuan dengan segera kepada golongan terkesan.
“Kerajaan melalui agensi-agensi berkaitan sedang turun ke lapangan bagi menyalurkan bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa dijaga,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Datuk Seri Mohamad turut menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada semua penduduk yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri, khususnya di Perak dan Kedah yang kini berdepan keadaan sukar.
Beliau turut menyeru mangsa agar tabah menghadapi dugaan tersebut dan yakin bahawa setiap ujian pasti mempunyai hikmah tersendiri.
“Kepada semua yang terjejas banjir, banyakkan bersabar dan kuatkan semangat,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pasukan penyelamat, anggota agensi kerajaan, sukarelawan serta rakyat yang berganding bahu membantu penduduk yang terjejas akibat bencana itu.
Setakat ini, beberapa daerah di dua negeri dilaporkan terjejas dengan paras air yang meningkat berikutan hujan lebat berterusan.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            