
Petaling Jaya, 9 Mei 2025 – Sebanyak 4,178 peluang pekerjaan disediakan khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi program Karnival Jelajah Jobcare Selangor sepanjang tahun ini, menandakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan keterangkuman tenaga kerja.
EXCO Sumber Manusia Negeri Selangor, YB V. Papparaidu berkata tawaran pekerjaan tersebut melibatkan 29 majikan yang menawarkan pendapatan melebihi RM2,000 sebulan, satu usaha signifikan ke arah memastikan OKU tidak terpinggir daripada arus pembangunan negara.
“Langkah ini bukan sahaja membuktikan keprihatinan sektor swasta terhadap kepelbagaian keperluan tenaga kerja, malah selari dengan dasar Kerajaan Negeri dalam memastikan tiada golongan terpinggir daripada arus pembangunan.
“Inisiatif ini jelas mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam menyediakan peluang yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan OKU,” ujar beliau dalam kenyataan hari ini.
Antara syarikat yang menunjukkan komitmen tinggi dalam pengambilan pekerja OKU termasuk KyoChon Sdn Bhd (OKU pembelajaran), 99 Speedmart Sdn Bhd (OKU bisu, pendengaran, pembelajaran), dan Nando’s Malaysia (OKU pendengaran, pertuturan serta pembelajaran).

Lebih 4,000 Jawatan Kosong Ditawarkan di Petaling
Program Jobcare seterusnya yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) SS3 akan menawarkan 4,260 jawatan kosong merentasi pelbagai sektor termasuk kewangan, pentadbiran dan khidmat sokongan, pembuatan serta peruncitan.
“Kerajaan Negeri menggalakkan semua pencari kerja di daerah-daerah ini untuk merebut peluang yang disediakan, selaras dengan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa modal insan di Selangor,” tambah Papparaidu.
Pendaftaran untuk program di Petaling boleh dibuat melalui pautan: https://bit.ly/jobcarepetaling
Jelajah Diteruskan ke 7 Lagi Daerah
Jelajah Jobcare Selangor akan diteruskan di tujuh lagi daerah seperti berikut:
- Kuala Langat: 21 Jun – Dewan Sri Jugra
- Hulu Selangor: 5 Julai – Dewan Merdeka KKB
- Hulu Langat: 19 Julai – Dewan Perbandaran MPAJ
- Kuala Selangor: 9 Ogos – Dewan MPKS Puncak Alam
- Klang: 27 September – Dewan Hamzah
- Sabak Bernam: 11 Oktober – Dewan Tun Razak
- Sepang: 15 November – Dewan Komuniti BBST
Sebelum ini, edisi Jobcare di Gombak berjaya menarik 531 pencari kerja, dengan 259 daripadanya berjaya mendapat tawaran pekerjaan dalam pelbagai sektor.
Program Jelajah Jobcare Selangor merupakan antara inisiatif utama Kerajaan Negeri dalam memperkukuh pasaran buruh serta membuka peluang saksama kepada semua rakyat, termasuk kumpulan rentan seperti OKU, selaras dengan matlamat pembangunan inklusif dan progresif.