
Kerajaan Selangor menegaskan bahawa bantuan kepada mangsa kebakaran akan tetap disalurkan meskipun mereka tidak mempunyai perlindungan insurans rumah, termasuk bantuan sumbangan kewangan, penyediaan rumah sewa serta baik pulih kediaman sekiranya diperlukan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, keutamaan akan diberikan kepada mangsa berdasarkan rekod masing-masing, termasuk status perlindungan insurans bagi rumah yang terjejas dalam kejadian kebakaran di Kampung Kuala Sungai Baru, baru-baru ini.
“Itu kita akan tengok kepada rekod mangsa, kalau ada insurans atau tidak.
“Kalau tidak ada, kerajaan tetap akan bantu dengan sumbangan, rumah sewa juga diberikan. Tidak ketinggalan, baik pulih rumah sekiranya diperlukan,” katanya.

Beliau menambah, antara bentuk bantuan lain yang ditawarkan termasuk penempatan sementara di bawah Skim Smart Sewa yang diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan terjejas mendapatkan tempat tinggal sementara dengan kadar yang berpatutan.
Kerajaan Negeri turut menzahirkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela, khususnya mereka yang terkesan akibat bencana dan musibah yang tidak dijangka. – SelangorKini