
Ahli Jawatankuasa DAP, Syahredzan Johan menempelak tindakan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempunyai kaitan dengan keluarga Pengasas Kumpulan YTL, mendiang Tan Sri Dr Yeoh Tiong Lay.
Syahredzan mendakwa, meskipun akui khilaf dan memohon maaf kepada Hannah dan Kumpulan YTL, pihaknya percaya Razman berbuat demikian hanya kerana perkara tersebut tular serta takut disaman.
Menurut ahli Parlimen Bangi itu, Razman tidak patut memberikan alasan bahawa video percakapan beliau disunting untuk dijadikan tajuk berita kerana kenyataan yang dibuat ‘sudah terang lagi bersuluh’.

“Jika betul silap, minta maaf dan mengaku. Tidak perlu beri ‘mukadimah’ tentang video dipotong atau sebagainya, itu semua alasan. Kalau sekali buat, kami boleh bersangka baik.
“Tetapi, dah berkali-kali memfitnah. Susah untuk kami (DAP) percaya kepada pemfitnah berulang.
“Kami cenderung percaya Razman hanya mengakui kekhilafan sebab ia sudah tular dan takut kena saman.
“Insaflah, tanya diri sendiri. Adakah perangai seperti ini boleh menjadi contoh kepada ahli Pas yang lain dan rakyat secara amnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu ketika program ceramah di Seri Iskandar, Perak pada Ahad mendakwa Hannah mempunyai kaitan dengan Tiong Lay berikutan kedua-duanya memiliki nama keluarga yang sama. -Sinar Harian