KUALA LUMPUR – Menantu kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, iaitu Zaharuddin Muhammad berpandangan hanya dua pemimpin PAS yang paling layak diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya parti itu menerajui kerajaan Persekutuan melalui Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, beliau secara konsisten berpandangan bahawa Tuan Ibrahim Tuan Man atau Idris Ahmad adalah calon paling sesuai untuk memegang jawatan Perdana Menteri daripada PAS.
Katanya, pandangan tersebut selari dengan pendirian yang pernah disuarakan oleh Mursyidul Am PAS sebelum ini.
“Untuk posisi Perdana Menteri, saya tetap konsisten dan sependapat dengan Mursyidul Am bahawa Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man atau Datuk Ustaz Idris Ahmad lebih layak jika Perdana Menteri datang daripada PAS,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, Zaharuddin turut mengulas isu pelantikan Ketua Pembangkang di Parlimen yang menjadi perbincangan dalam kalangan pimpinan PN.
Beliau berkata kenyataan Timbalan Pengerusi PN, Hamzah Zainudin yang merujuk kepada pandangan Presiden PAS bahawa Ketua Pembangkang ditentukan oleh majoriti ahli Parlimen pembangkang, perlu difahami dalam konteks sokongan majoriti.
Menurutnya, jika majoriti ahli Parlimen pembangkang masih menyokong seseorang tokoh untuk kekal sebagai Ketua Pembangkang, maka individu tersebut boleh terus memegang jawatan itu walaupun ada cadangan lain.
Bagaimanapun, Zaharuddin berpandangan bahawa dari sudut keselarasan gerak kerja politik dalam PN, tokoh PAS seperti Ahmad Samsuri Mokhtar atau Takiyuddin Hassan lebih sesuai dipilih sebagai Ketua Pembangkang.
“Antara Hamzah dan Dr Sam, bagi saya lebih baik Dr Sam menjadi Ketua Pembangkang kerana penting keselarasan gerak kerja. Jika tidak, PN buat keputusan A tetapi di Parlimen Ketua Pembangkang buat keputusan B,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa jawatan Ketua Pembangkang hanya melibatkan peranan dalam Parlimen dan tidak berkait secara langsung dengan pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau berharap semua ahli Parlimen PN dapat mempertimbangkan sama ada Ahmad Samsuri atau Takiyuddin sebagai Ketua Pembangkang, manakala isu calon Perdana Menteri daripada PAS kekal tertumpu kepada Tuan Ibrahim atau Idris Ahmad.
Kenyataan tersebut muncul ketika perbincangan mengenai struktur kepimpinan blok pembangkang terus hangat diperkatakan susulan perkembangan terkini dalam PN.