
PUCHONG, 9 JUN 2025 -Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Abbas Azmi menegaskan sebarang langkah untuk menukar kepimpinan Negeri Selangor khususnya Dato Menteri Besar Selangor harus dinilai berdasarkan kesan kepada kestabilan politik negeri. Selain itu beliau turut melihat kesinambungan pembangunan yang dirancang dan sedang berjalan wajar dititik beratkan dalam soal jika berlakunya usaha untuk menukar kedudukan Amirudin Shari dengan pihak lain.
Tegasnya, pembangunan yang sedang berjalan termasuk pembentangan Rancangan Selangor -2 tidak harus terjejas sama sekali semata-mata untuk menjayakan langkah politik ini. Malah Abbas yang juga Ketua Penerangan PH Selangor berpendapat, tidak ada sebarang sebab utama termasuk salah guna kuasa dan krisis kepercayaan dikalangan wakil rakyat kerajaan negeri untuk mengekalkan Amirudin selaku Pengerusi PH Selangor sebagai Menteri Besar.
“Jika ada usaha tersebut untuk menukar Menteri Besar, adakah ia mendatang kebaikan kepada rakyat Selangor buat masa ini? Sedangkan Rancangan Selangor -1 telah selesai dijayakan, menanti pembentangan RS-2 pula, sudah pasti pertukaran ini akan menjejaskan kelancaran proses yang sedang berjalan” katanya.
Bagi Parti AMANAH Negara di Selangor pula, ADN Seri Serdang itu menyatakan komitmen AMANAH untuk kekal menyokong Amirudin seiring dengan titah Seri Paduka Bagin Sultan Selangor agar Amirudin kekal memerintah di Selangor.

Mengulas akan calon pengganti Amirudin pasca PRU ke-16 , Abbas berkata jika Ahli Parlimen Gombak itu tidak dicalonkan sebagai peneraju Negeri lagi, part-parti komponen Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan akan memutuskannya.
“Harapannya pengganti Amirudin jika dia tidak dilantik semula selepas PRU ke-16 mestilah mempunyai keupayaan yang sama atau lebih baik dari Dato Menteri Besar yang sekarang demi kelangsungan rakyat Selangor dibawah pentadbiran perpaduan.”